Anda di sini

Tiga MOU dimeterai pada Pameran Udara Paris 2017

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga memorandum persefahaman (MOU) dan satu surat hasrat (LOI) ditandatangani semasa Pameran Udara Paris Antarabangsa 2017, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam satu kenyataan kelmarin, MITI berkata pameran seminggu itu yang berakhir kelmarin, menghimpunkan peserta industri aeroangkasa dari seluruh dunia yang antara lain untuk mengadakan rangkaian, mempamerkan produk baharu, pemindahan pengetahuan dan keupayaan latihan.

Pencapaian penting pada pameran itu termasuk pemeteraian perjanjian antara Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dengan dua syarikat iaitu Gyeongnam Techno Park dari Korea Selatan bagi pembuatan (struktur aero, komponen dan peralatan) dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi enjin aero dan komponen, serta dengan firma berpangkalan di Denmark, Skyways Technics bagi rancangan pengembangan dalam ekosistem aeroangkasa MAHB, katanya.

Menurut MITI, satu MOU lagi ditandatangani antara Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) dengan Persatuan Industri Aeroangkasa Taiwan (TAIA) bagi pembangunan aeroangkasa, terutamanya dalam pembangunan modal insan, keupayaan aeroangkasa dan peluang perniagaan antara Malaysia dan Taiwan.

Kerjasama ini tepat pada masanya memandangkan strategi pelbagai pengeluar peralatan tulen beralih ke rantau pertumbuhan tinggi seperti Asia Pasifik yang menyasar untuk menguasai 40 peratus daripada pertumbuhan kumpulan pesawat komersial baharu,” katanya.

Menurut kementerian, LOI pula ditandatangani oleh Pusat Inovasi Aeroangka Malaysia dan Kementerian Pendidikan Negara Kerajaan Perancis akan melibatkan usaha membangunkan kaedah inovatif baharu bagi latihan untuk jurutera aeroangkasa dan pekerja kolar biru di Malaysia.

Pembangunan industri aeroangkasa Taiwan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada 15 peratus setahun sejak 1992, yang menyebabkan MAIA berminat membentuk kerjasama ini.

Ia merupakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pembuatan yang berupaya dan kompetitif, MRO dan penyelenggaraan yang dapat melengkap dan bersepadu dengan sektor aeroangkasa Taiwan dan serantau, katanya. — Bernama

Advertisement