Anda di sini

Smart Stream sasar buka 200 cawangan menjelang 2050

Advertisement

Tiga cawangan dibuka di Sarawak sebelum hujung tahun ini

KUANTAN: Smart Stream Resources Sdn Bhd (Smart Stream), syarikat pembekalan minyak petrol dan diesel milik penuh Bumiputera beroperasi di kawasan pedalaman dan luar bandar, menyasarkan untuk membuka sebanyak 200 buah stesen minyak jenama itu di seluruh negara menjelang 2050.

 Pengarah Urusannya, Mohd Khairuddin Saimon berkata sejak ditubuhkan pada 2008 sehingga kini, Smart Stream telah mempunyai 64 buah stesen minyak mini dengan 51 milik koperasi, manakala 13 lagi diusahakan individu.

 Setakat ini, katanya Pahang mencatatkan bilangan paling banyak mempunyai stesen minyak Smart iaitu sebanyak 23 buah daripada jumlah keseluruhan yang ada di seluruh negara.

 “Kita banyak menerima permohonan baharu dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan setakat ini, sebanyak 16 permohonan telah diterima dari Sabah, 18 permohonan dari Sarawak dan selebihnya di Semenanjung.

 “Tiga buah stesen minyak, masing-masing akan dibuka di Sabah dan Sarawak, manakala dua lagi di Semenanjung tidak lama lagi menjadikan kita akan mempunyai 72 buah stesen minyak Smart di seluruh negara menjelang hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

 Beliau berkata lokasinya ialah FELDA Calok Barat, di Permaisuri, Terengganu dan FELDA Nitar di Mersing, Johor; manakala di Sabah di Balong dan FELDA Umas, Tawau serta Paris, Lahad Datu.

 Di Sarawak, tiga buah stesen minyak yang akan dibuka sebelum hujung tahun ini ialah di Stapang, Sibu, Tanjung Manis, Mukah dan Julau, Sarikei.

 Katanya, bagi pembinaan stesen minyak baharu, syarikat akan memperkenalkan imej dan reka bentuk baharu yang lebih dinamik, ceria dan moden, setanding dengan syarikat minyak utama setelah hampir 10 tahun menggunakan imej lama.

 “Kita memberi jaminan stesen minyak Smart menyediakan bekalan bahan api yang bermutu tinggi setanding mutunya dengan stesen minyak ternama yang lain. Ini kerana kita menggunakan bekalan minyak daripada Petron.

 “Selain menyediakan bekalan petrol dan diesel, stesen minyak Smart juga menyediakan kemudahan perbankan ATM, bayaran bil untuk memudahkan penduduk setempat, jualan barangan runcit dan industri kecil dan sederhana (IKS),” katanya.

 Katanya sejak penubuhannya, syarikat telah berjaya melahirkan ramai usahawan dan syarikat Bumiputera di bawah ‘payung Smart’ dalam bidang peruncitan stesen minyak, insurans, kontraktor binaan dan pembekal produk IKS. — Bernama

Advertisement