Anda di sini

Lima pemandu bas ekspres disaman kerana bawa penumpang berlebihan

Advertisement
 Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Sabah Parum Niot menjalankan pemeriksaan di dalam bas ekspres semasa Ops Bersepadu Bas Ekspres.
PERIKSA: Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Sabah Parum Niot menjalankan pemeriksaan di dalam bas ekspres semasa Ops Bersepadu Bas Ekspres.

KOTA KINABALU: Lima pemandu bas ekspres disaman oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) selepas didapati membawa penumpang berlebihan dalam Operasi Bersepadu Bas Ekspres sempena Ops Selamat 11/2017.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, operasi selama dua jam terbabit dijalankan di Jalan Tuaran berhadapan Mini Putrajaya Telipok malam Jumaat lalu.

Kita memeriksa sebanyak 30 bas ekspres yang bertolak dari Terminal Bas Utama di Inanam pada jam 7.30 hingga 8 malam yang akan balik di kawasan pantai timur termasuk Sandakan, Tawau dan Semporna.

Lapan daripada pemandu bas terbabit disaman selepas melakukan beberapa kesalahan termasuk dua pemandu menggunakan alat pemadam api yang sudah tamat tempoh dan seorang pemandu beroperasi dengan tidak membawa pemandu kedua.

Lima pemandu juga disaman selepas didapati membawa lebihan penumpang untuk balik ke destinasi masing-masing,” katanya.

Katanya, dua pemandu bas yang disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah bagaimanapun tidak ditahan selepas mendapati hasil ujian saringan air kencing adalah negatif.

Chandra berkata operasi bersepadu itu dijalankan bagi memastikan perkhidmatan bas ekspres mematuhi undang-undang lalu lintas seterusnya memastikan satu perjalanan yang selamat bagi warga bandaraya balik bercuti di kampung masing-masing.

Kita ingin melihat kemalangan maut di jalan raya adalah pada angka sifar sepanjang musim perayaan ini.

Bagi memastikan sasaran ini tercapai, operasi berterusan termasuk Op Bersepadu Bas Ekspres akan dijalankan agar pemadu bas dapat memandu secara berhemah dan membawa penumpang selamat sampai ke destinasi yang dituju,” katanya.

Tambahnya pemandu bas turut dinasihatkan untuk menjalankan pemanduan dalam keadaan fizikal dan mental yang baik sebelum menempuh perjalanan yang jauh selain memastikan barangan lain termasuk peti pertolongan cemas dan pemadam api dibawa bersama di dalam bas.

Advertisement