Anda di sini

Kerajaan giat laksana pelbagai program

Advertisement

Terus pacu pembangunan negeri untuk jamin kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang

KOTA KINABALU: Kerajaan sedang giat melaksanakan pelbagai program untuk terus memacu pembangunan negeri dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, kerajaan juga terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan juga sektor swasta dalam membangunkan sektor-sektor utama seperti minyak dan gas, pertanian dan pelancongan serta pembangunan modal insan.

Manfaat jangka panjangnya dapat menyediakan peluang pekerjaan dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan profesional serta peluang keusahawanan.

Ini termasuk Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah, Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), serta Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2017.

Musa menyeru penjawat awam dan pihak yang berkaitan agar mempergiatkan lagi pelaksanaan agenda pembangunan demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh golongan sasar di peringkat akar umbi.

Katanya ia amat penting terutamanya dalam usaha merapatkan jurang pembangunan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.

Kerajaan juga terus komited untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat, termasuklah memastikan peluang pendidikan yang lebih baik dan melahirkan pekerja yang mahir dan berpengetahuan untuk memacu pembangunan negeri agar lebih maju dan berdaya saing,” katanya.

Dalam konteks keselamatan, beliau menegaskan ia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pasukan keselamatan khususnya pihak PDRM, Angkatan Tentera, agensi-agensi keselamatan serta semua yang terlibat dalam menjaga dan memelihara keamanan dan kedaulatan negeri khususnya di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).

Sesungguhnya, keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi,” katanya.

Justeru, beliau mengajak rakyat Malaysia di Sabah untuk melaporkan segera kepada pasukan keselamatan jika terdapat individu atau kumpulan yang berkelakuan mencurigakan dan mengancam keselamatan.

Kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas pada musim perayaan ini, beliau mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan pengorbanan yang dicurahkan.

Musa berkata dalam kita bergembira meraikan Hari Raya, janganlah lupa kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Saya gembira dan memuji penglibatan pelbagai badan korporat, organisasi serta individu yang memberikan sumbangan, menerusi acara berbuka puasa dan pemberian duit raya atau sumbangan lain kepada anak yatim, ibu tunggal, warga tua dan golongan asnaf.

Saya percaya amalan murni dan mulia ini bukan sahaja dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan, malah ia sangat dituntut dalam agama bagi memastikan amalan bersedekah terus tumbuh subur dalam sanubari kita.

Sesungguhnya, kita bersyukur dan bertuah kerana dapat meraikan Aidilfitri dalam keadaan yang aman dan harmoni. Ada di antara saudara seagama kita yang mungkin tidak dapat menyambut 1 Syawal disebabkan peperangan, kemiskinan dan sebagainya.

Sehubungan itu, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT melindungi mereka yang sedang melaksanakan ibadah puasa pada bulan Ramadan ini dengan cabaran yang besar,” katanya.

Begitu juga dengan mereka yang bekerja dan berkhidmat tanpa mengenal penat dan lelah, mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan seperti pasukan keselamatan, pasukan perubatan dan penyelamat serta sektor perkhidmatan.

Musa berkata bulan Ramadan mengajar umat Islam untuk bersabar dan menahan diri dalam semua keadaan, termasuklah dalam tugas seharian.

Kita berhimpun di masjid pada sebelah malamnya untuk mengucap syukur terhadap apa jua yang telah dikurniakan kepada kita,” katanya.

Katanya tentu sekali, Ramadan merupakan masa untuk meningkatkan perbuatan baik melalui amal dan ibadah, di samping membantu mereka yang memerlukan.

Hari Raya Aidilfitri pula adalah masa untuk bersalaman dan memohon ampun dan maaf daripada keluarga, rakan dan taulan.

Ia juga dapat mengukuhkan lagi silaturahim dalam kalangan umat Islam, dan juga menyemai keharmonian sesama kita rakyat yang berbilang suku kaum, agama dan budaya di negeri ini melalui amalan kunjung-mengunjungi rumah terbuka.

Di Sabah, kita saling menghormati antara satu sama lain walaupun terdiri dariapa pelbagai latar budaya, kaum, etnik dan kepercayaan,” katanya.

Beliau berharap agar Sabah terus menjadi contoh dan model perpaduan dan keharmonian yang terbaik di Malaysia.

Beliau percaya pembangunan dan kemajuan boleh dicapai walaupun kita tidak berkongsi kepercayaan yang sama.

Musa menyeru kepada rakyat Malaysia di Sabah untuk terus memelihara keamanan dan keharmonian yang kita nikmati hari ini. Kesederhanaan dan sikap saling menerima dan menghormati antara satu sama lain amat penting dalam kita menghadapi pelbagai cabaran termasuk ancaman ekstremisme.

Musa dan isteri, Datin Seri Faridah Tussin serta keluarga mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri ini.

Advertisement