Anda di sini

Program keusahawanan iM Sarawak ubah nasib usahawanita

Advertisement
 Lucy menunjukkan hasil unik kraf manik perhiasan wanita suku kaum Bidayuh Jagoi yang dibuatnya sendiri untuk lensa Utusan Borneo.
KREATIF: Lucy menunjukkan hasil unik kraf manik perhiasan wanita suku kaum Bidayuh Jagoi yang dibuatnya sendiri untuk lensa Utusan Borneo.

PROGRAM keusahawanan yang dijalankan iM Sarawak berjaya mengubah nasib usahawanita kecil dan sederhana serta keluarga mereka di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini.

 Ahli Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak, Irwan Zulkarnain Muhamad Hasbie berkata sejak ia mula dijalankan pada 2013, seramai 1,663 peserta telah menerima manfaat daripada program tersebut.

 iM Sarawak ditubuhkan untuk memberi nasihat tentang keperluan masyarakat di negeri ini.

 “Sejak 2013, kami telah menjalankan 29 sesi di Sarawak (Kuching, Sibu, Miri, Kapit, Samarahan, Serian, Sri Aman, Bau, Simunjan dan Saratok.

 “Jadi, sebelum projek ini dijalankan selalunya kami akan meminta maklum balas daripada akar umbi untuk pemilihan di kawasan-kawasan yang memerlukan program sedemikian.

 “Pihak kami bekerjasama dengan ahli wakil tempatan seperti Majlis Daerah untuk mencadangkan penyertaan peserta dengan meletakkan kriteria pemilihan adalah usahawan itu sendiri perlu memiliki perniagaan baharu yang dijalankan secara kecil-kecilan,” katanya pada sidang media di Medan Niaga Sematan Sabtu lepas.

 Keunikan program tersebut adalah selepas diberikan kursus, pihaknya akan menjalankan susulan selain menyediakan mentor kepada para peserta untuk memantau para peniaga sama ada sasaran mereka tercapai dari segi peningkatan pendapatan.

 Ia dilaksanakan dengan melantik mentor dari luar yang mempunyai pengalaman yang luas sekurang-kurangnya 12 tahun sebelum mengendalikan bengkel program tersebut.

 Kemahiran yang diajar selama dua hari itu adalah mengenal pasti pasaran, berkomunikasi dan pengurusan kewangan asas.

 Ia berjaya menukar penampilan peniaga kita agar lebih kreatif untuk membuat perancangan dan strategi jangka panjang serta meningkatkan pendapatan peniaga, tegasnya.

 Turut diberi penekanan agar para peserta cuba menggunakan kemudahan jalur lebar bagi memasarkan produk mereka selari dengan aspirasi kerajaan negeri bagi mewujudkan ekonomi digital.

 Kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM2 bilion bagi membangun serta mempertingkatkan kemudahan jalur lebar terutama bagi kegunaan dan manfaat usahawan dari kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini.

 Sementara itu, perjalanan yang mengambil masa lebih kurang dua jam dari bandar raya Kuching dibawa pihak iM Sarawak ke Media Niaga Sematan untuk menemui Christina Salimin, 45, berasal dari Kampung Temaga Dayak.

 Berbekalkan pesanan ibu tercinta yang pernah menyebut ‘Jangan terlalu lemah, apa yang lelaki boleh buat...kita juga boleh buat tetapi jangan lupa tugas kita sebagai seorang wanita’.

 “’Apa yang orang lain boleh buat, kamu juga boleh buat...gagal bukan bererti untuk terus gagal’ adalah antara pesanan beliau yang saya tidak dapat lupakan,” katanya ketika ditemui Sabtu lepas.

 Selepas menjalani kursus keusahawanan dengan iM Sarawak tahun lepas, Christina nekad mengubah nasib dan mencuba pelan baharu untuk terus maju,.

 Beliau pada mulanya dihubungi pihak Majlis Daerah Lundu (MDL) untuk menyertai kursus tersebut, lantas mencuba nasib.

 Bermula dari situ, beliau yang dahulunya takut dan kurang berkeyakinan bangkit dan kini mempunyai pendapatan berlipat kali ganda.

 Jika dahulu pendapatannya cuma sekadar cukup makan kini beliau berjaya meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

 “Semasa mula berniaga dulu, kakak memang belum mahir lagi… ada perasaan takut rugi, tidak berani ambilk risiko… selepas berkursus kakak diajar untuk mengatur kewangan dan membuat simpanan.

 “Sekarang sayur juga dijual kepada sekitar 200 premis seperti ke Palm Beach Chalet, inap desa dan kedai-kedai makan di sekitar Lundu dan Sematan setiap hari.

 “Bekalan saya dapat daripada orang kampung, saya sendiri cari, selain sanak-saudara yang berkebun.

 “Tidak guna media sosial, cara saya mencari pelanggan adalah dengan menelefon,” ujarnya tersenyum.

 Pada masa yang sama, Sulasteri Karim, 37, seorang peruncit mendapat galakan daripada suaminya Mohd Nazrul Firdaus Abdullah untuk menyertai kursus anjuran iM Sarawak.

 Hasil restu suaminya, Sulasteri yang berasal dari Kampung Senari, Jalan Bako memiliki perniagaan runcit yang semakin berkembang di Kampung Temaga Dayak.

 “Dahulu pernah bekerja di Johor Bahru bersama suami tetapi rasanya tidak berbaloi...jadi kami pulang dan suami mula menyimpan modal hanya dengan berkebun.

 “Memang tidak dapat disangkal dahulu kami hanya mampu membeli sebuah motosikal tetapi sekarang sudah memiliki kereta dan sebuah lori untuk membeli barang dan menghantar tempahan kuih atau katering kepada pelanggan,” katanya.

 Sulasteri mula membuka kedai runcit di bahagian dapur rumahnya pada 2006, tetapi hasil daripada pengembangan perniagaan keduanya kini sudah hampir mampu membina sebuah ruang bagi kedai runcit yang baharu.

 Beliau dahulunya kurang berkeyakinan, kini sudah mulai berfikiran positif dan berterima kasih dengan adanya program tersebut yang banyak membantu keluarganya membangun.

 Hari ini, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu keluarga ini melalui AZAM Kerja dengan memberi sebuah mesin memarut kelapa, mesin tebu, ‘chiller’ dan ‘freezer’ di kedainya itu.

 “Masa dahulu memang susah, anak-anak masih kecil, dengan keadaan ekonomi yang terlalu lemah kadang-kadang terpaksa berikat perut.

 “Tidak pernah rasa untuk berputus asa.

.

.

 saya seorang sahaja yang mempunyai kedai di kampung ini, lagipun minat suami untuk mempunyai perniagaan dan saya pula suka membuat kek dan pastri,” ujarnya.

 Kedai runcit dinamakan M Box Corner memberi pendapatan kepada keluarga Sulasteri sekitar RM2,000 ke RM2,500 sebulan.

 Pada masa akan datang beliau mahu menjual lebih banyak kek dan bahan runcitan untuk keperluan setiap isi rumah.

 Bagi Tunas (Lucy) Redy, 46, pembuat manik, tuahnya datang selepas anak lelaki keduanya yang berumur 24 tahun terlibat kemalangan jalan raya.

 Walau hatinya luluh mengenangkan nasib anak, tetapi beliau yang dahulunya cuma membuat kerepek dengan berpendapatan sekitar RM500 sebulan kini meraih berlipat kali ganda daripada jumlah itu.

 Lucy sudah mulai minat dengan manik pada 2001 dan pernah mendapat asas membuat manik di sekolah menengah sewaktu berada di tingkatan tiga.

 Wanita yang mulai aktif dengan seni manik pada tahun 2014 sehingga kini, berasal dari Kampung Seropak.

 Kini Lucy dan keluarganya tinggal di Kampung Jagoi Duyoh, Jalan Krokong.

 “Dahulu saya mengusahakan kerepek tetapi sejak dia (anak) sakit sukar untuk saya ke dapur, jadi bagi menjaganya saya mencuba buat kraf tangan manik sambil menjaga anak.

 “Ada manik yang saya beli di pasar kerana minat dan itu saya jadikan contoh untuk membuat manik saya pula.

 “Banyak lagi yang saya hasilkan daripada suku kaum sendiri kerana tidak mahu hilang tradisi sendiri.

 Lagipun banyak pelanggan yang mahukan barang kraf tangan daripada kaum Bidayuh sendiri,” katanya.

 Lucy turut mengupah tiga anak saudaranya dan seorang iparnya untuk membantu memenuhi tempahan dan jualan untuk pesta atau festival yang disertainya.

 Beliau mendedahkan bahawa kursus yang ditawarkan oleh iM Sarawak banyak memberi idea kepadanya selain mengetahui cara untuk memasarkan produk.

 “Pengalaman yang dikongsi juga memberi manfaat kepadanya untuk menghasilkan lebih banyak barang yang berkualiti.

 “Angan-angan mahu membuka galeri terutama pada musim perayaan tahun depan.

 Saya juga berterima kasih kepada pihak AIM dan TEKUN yang banyak membantu memberi pinjaman.

 “Itu yang saya hairan kenapa saya membuat kerepek sedangkan minat saya adalah membuat manik tetapi Tuhan beri segalanya kepada saya... ini tuah anak saya yang sedang sakit...sekarang saya pandai buat serbaserbi,” katanya sambil tersenyum.

  • oleh
  • Advertisement