Anda di sini

Pengebom nekad sasar Mekah

Advertisement
 Anggota pasukan keselamatan Saudi memeriksa kawasan selepas pengebom nekad meletupkan diri di Mekah kelmarin. — Gambar Saudi News Agency/Reuters
MUSNAH: Anggota pasukan keselamatan Saudi memeriksa kawasan selepas pengebom nekad meletupkan diri di Mekah kelmarin. — Gambar Saudi News Agency/Reuters

Insiden di sekitar Masjidil Haram, 6 cedera, 5 suspek ditangkap

RIYADH: Enam penziarah asing cedera kelmarin di Arab Saudi apabila seorang pengebom nekad menyasari tapak paling suci dalam Islam, Mekah, meletupkan diri, kata Kementerian Dalam Negeri.

 Insiden itu berlaku di sekitar Masjidil Haram, di mana ratusan ribu orang Islam berhimpun untuk sembahyang pada hari Jumaat terakhir bulan puasa Ramadan pada tahun ini.

 Jurucakap kementerian Jeneral Mansour al-Turki memberitahu televisyen Arab Saudi bahawa polis “menggagalkan rancangan pengganas yang menyasari keselamatan Masjidil Haram, penziarah dan penganut”.

 Dalam serbuan subuh di Mekah dan kota Jeddah di Laut Merah, anggota polis menangkap lima suspek, termasuk seorang wanita, sebelum mengepung lokasi pengebom di sekitar Masjidil Haram.

 “Malangnya dia mula menembak kakitangan keselamatan apabila dia menyedari kehadiran mereka di kawasan berkenaan, yang mencetuskan kejadian berbalas tembakan sebelum dia meletupkan diri,” kata Turki.

 Letupan itu menyebabkan sebahagian bangunan di mana dia berselindung roboh dan mencederakan enam penziarah, kata Turki.

 Beliau menambah, empat daripada mereka sudah dikeluarkan dari hospital, dan lima anggota keselamatan turut cedera ringan.

 Sejak lewat 2014, Arab Saudi berdepan dengan serangan bom dan tembakan dari semasa ke semasa yang diakui dilakukan oleh kumpulan pelampau jihad Negara Islam (IS).

 Imej yang dikatakan dari tempat kejadian yang diedarkan dalam media sosial menunjukkan sebuah lorong yang penuh dengan batu bata dan puing lain, dipercayai akibat satu letupan.

 Video menunjukkan apa yang dipercayai kepala seorang lelaki berjambang di celah runtuhan struktur yang roboh.

 Menjelang hujung Ramadan pada tahun lepas di kota Medina, Arab Saudi, empat anggota keselamatan maut dalam satu letupan berhampiran tapak kedua paling suci dalam Islam, Masjid Nabawi.

 Ia merupakan satu daripada tiga letupan nekad di sekitar negara itu pada hari yang sama, di mana seramai tujuh orang dipercayai terbunuh.

 Letupan lain berlaku di Jeddah dan di kota Teluk, Qatif.

 Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (AS) berkata serangan tersebut mempunyai ciri-ciri IS.

 Kebanyakan sasaran di Arab Saudi adalah masyarakat minoriti Syiah dan pasukan keselamatan, yang mengorbankan puluhan orang.

 Pemimpin IS Abu Bakr al-Baghdadi telah menuntut serangan ke atas negara itu, yang merupakan anggota perikatan pimpinan AS yang memerangi kumpulan itu di Syria dan Iraq.

 Sejak Julai tahun lepas, polis sudah menangkap kira-kira 40 orang, termasuk warga Saudi dan Pakistan, kerana didakwa ada kaitan dengan pelampau.

 Keupayaan antikeganasan Arab Saudi – yang selama bertahun-tahun diketuai Putera Mohammed bin Nayef – dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

 Pada Rabu lepas Putera Mohammed dilucutkan daripada jawatan baginda sebagai putera mahkota dan menteri dalam negeri, dan digantikan sebagai pewaris takhta oleh putera Raja Salman, Putera Mohammed bin Salman.

 Operasi antikeganasan kelmarin adalah yang pertama di bawah menteri dalam negeri baharu, Putera Abdulaziz bin Saud bin Nayef, yang berusia awal 30-an.

 Putera Abdulaziz adalah anak saudara menteri yang dilucutkan jawatan.

 — AFP

Advertisement