Anda di sini

Utamakan aspek keselamatan sempena cuti perayaan: Bomba

Advertisement

KOTA KINABALU: Biarpun statistik kebakaran semasa musim perayaan memperlihatkan penurunan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini namun, orang ramai dinasihatkan agar terus mengutamakan aspek keselamatan sebelum keluar meninggalkan rumah.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah Jemros Olin berkata, sebelum keluar meninggalkan rumah, orang ramai perlu memastikan suis utama elektrik di rumah kediaman dimatikan dan plug perkakasan elektrik yang tidak digunakan dicabut daripada soket.

Langkah keselamatan sebegini penting bagi memastikan kes kebakaran yang berlaku sepanjang musim perayaan dapat dikurangkan.

Jika dilihat statistik kebakaran semasa musim perayaan, pada 2014, sebanyak 58 kes kebakaran rumah kediaman direkodkan dan ia menurun kepada 39 kes (2015) dan seterusnya menurun kepada 22 kes pada 2016. Statistik ini diambil kira dalam tempoh dua minggu sebelum perayaan dan dua minggu selepas perayaan.

Penurunan sebanyak 43 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2015 itu dilihat hasil daripada program kesedaran yang dilakukan secara berterusan oleh JBPM bagi mengurangkan insiden kebakaran rumah kediaman semasa musim perayaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya memantau aktiviti melibatkan pembakaran terbuka secara tidak terkawal yang dilihat meningkat semasa musim perayaan. Oleh itu, setiap rumah kediaman perlu menyediakan alat pemadam api yang bersesuaian sebagai langkah awal keselamatan.

“Perkara sebegitu perlu diberi perhatian supaya tindakan awal boleh dilakukan dengan serta-merta ketika kecemasan berlaku sementara menunggu bantuan tiba,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kesedaran Kebakaran sempena musim perayaan di Ibu Pejabat JBPM di sini, kelmarin.

Sempena musim perayaan ini juga, JBPM Sabah mengambil beberapa tindakan termasuk memeriksa dan menghapuskan bahaya kebakaran di premis perniagaan dengan memastikan semua laluan keselamatan pelepasan diri bebas daripada sebarang rintangan.

Tumpuan diberi kepada pemeriksaan sistem keselamatan, laluan tangga kecemasan dan pintu rintangan api.

Katanya, mana-mana premis yang didapati melanggar peruntukan undang-undang sedia ada boleh diberikan notis atau denda.

Advertisement