Anda di sini

Perhebatkan kawalan pintu masuk

Advertisement

KOTA KINABALU: Agensi penguat kuasa termasuk penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT) disaran supaya memperhebat kawalan bagi memastikan daging ayam yang tidak mempunyai sijil halal sah tidak diseludup masuk ke negeri ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerajaan tidak akan membiarkan kegiatan penyeludupan bahan makanan sedemikian dilakukan.

“Atas sebab itu, pihak penguat kuasa sentiasa menjalankan tugas untuk membanteras aktiviti penyeludupan (bahan makanan). Mungkin hanya ada satu atau dua kes yang membolosi penguat kuasa kita.

“Namun apa yang penting ialah tindakan serta-merta diambil ke atas pihak terlibat. Seperti dilaporkan, melalui operasi bersepadu diketuai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang mana, tindakan telah diambil terhadap pengimport berkenaan.

“Kita tidak akan biarkan mereka lakukan perkara sebegitu. Kita bertanggungjawab untuk mengelakkan perkara sebegini daripada berlaku demi kepentingan pengguna. Barangan yang dijual perlu mempunyai sijil halal yang sah dan betul bukannya sijil tiruan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai rampasan daging ayam dari Amerika Syarikat yang tidak mempunyai sijil halal sah di salah sebuah gudang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan Pergerakan Wanita UMNO Sabah di sini, baru-baru ini.

Katanya, rampasan daging itu mungkin disebabkan ia diseludup masuk ke negeri ini. Seperti diketahui kes penyeludupan bahan makanan memang berlaku malah, beras juga diseludup masuk ke Kelantan dari Thailand.

“Kegiatan penyeludupan ini ada yang bolos. Saya tidak kata semua sempurna. Sekiranya ada orang mengatakan kita sempurna itu kenyataan yang melebih-lebih. Kelemahan sedikit sebanyak mesti ada, sebab itu jika ada kelemahan, kita selesaikan dan ambil tindakan serta perbaikinya,” jelasnya.

Pada Selasa, akhbar tempatan melaporkan satu rampasan daging ayam dari Amerika Syarikat dalam kontena besar yang mempunyai logo halal yang tidak diiktiraf pada kotaknya dilakukan di salah sebuah gudang yang mengimport daging berkenaan di KKIP.

Rampasan yang dilakukan di gudang berkenaan mendapati kotak-kotak itu mengandungi bahagian ayam campur termasuk yang dipamerkan untuk dijual di pasar raya semasa operasi bersepadu yang diketuai JHEAINS pada Selasa.

Hasil rampasan itu menemui 60 kotak sayap ayam beku dan buntut ayam di dalam sebuah penyejuk pasar raya serta 50 kilogram sayap serta 3.6kg buntut ayam yang diletak dalam dulang besar untuk dijual di premis sama di Telipok semasa pemeriksaan rawak di beberapa premis pada hari yang sama.

Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Penguatkuasa) JHEAINS Abidin Ali Hassan berkata, JPHPT merampas semua bahagian ayam dari Amerika Syarikat yang ditemui di dua premis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ia kerana, hanya JPHPT mempunyai kuasa untuk merampas daging ayam dan itik yang diimport secara haram dari negara yang tidak mempunyai kelulusan daripada kerajaan persekutuan.

Bidang kuasa JHEAINS pula untuk membatalkan dan menarik balik sijil logo halal JAKIM yang dimiliki oleh pengimport. Satu amaran keras juga dikeluarkan kepada pengimport berkenaan supaya tidak mempamerkan semua jenis logo halal sehingga siasatan kes selesai.

Advertisement