Anda di sini

Pembinaan wad hemodialisis di Hospital Tenom perlu dipercepatkan, kata Raime

Advertisement

TENOM: Pihak berwajib diminta mempercepatkan pembinaan wad hemodialisis yang baharu bagi keselesaan rawatan para pesakit buah pinggang di Hospital Tenom.

Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi berkata, ia berikutan bilangan pesakit yang menerima rawatan itu semakin bertambah selain ruang bilik rawatan berkenaan ketika ini agak sempit.

Menurutnya, beberapa aspek lagi yang perlu diberi perhatian pihak kerajaan terutamanya kepada pihak Kementerian Kesihatan.

Katanya keperluan wad perempuan, lelaki dan ibu bersalin di hospital itu juga perlu dinaik taraf dengan menambah bilangan katil dan peralatan rawatan perubatan lain termasuk doktor pakar.

“Sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM3 juta bagi menaik taraf beberapa bangunan dengan membina bangunan baharu untuk Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Unit Pesakit Luar di hospital ini demi keselesaan pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan pada Program Ziarah Ramadan di Hospital Tenom, kelmarin.

Mengenai program Ziarah Ramadan di hospital itu, Raime berkata ia merupakan acara tahunan setiap kali menjelangnya bulan Ramadan di bawah program tanggungjawab sosial koporat Badan Dakwah Islam Daerah Tenom yang bertujuan mendekati rakyat terutama para pesakit yang menderita penyakit agak tidak terasa tersisih dalam meraikan sesuatu perayaan.

Sementara itu, para pesakit di hospital berkenaan yang menerima bantuan melalui Badan Dakwah Islam Daerah Tenom menzahirkan penghargaan terima kasih atas keprihatinan badan agama dalam meringankan beban mereka.

Sempena lawatan itu, Raime yang juga pengerusi Badan Dakwah Islam Daerah Tenom turut menyampaikan bantuan geran tahunan melalui peruntukan Parlimen sebanyak RM3,000 kepada Kelas Bimbingan Saudara kita (KBSK) Tenom.

Advertisement