Anda di sini

APMM catat dua tangkapan kes bom ikan sejak awal bulan ini

Advertisement
 Anggota APMM meneliti hasil tangkapan ikan serta bahan letupan yang ditinggalkan di dalam bot pam terbabit.
BOM IKAN: Anggota APMM meneliti hasil tangkapan ikan serta bahan letupan yang ditinggalkan di dalam bot pam terbabit.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sekali lagi berjaya menahan sebuah bot pam yang mempunyai peralatan bom ikan dan menyelam menjadikan dua tangkapan yang direkodkan berhubung kes berkenaan sejak awal bulan ini.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som berkata, bot pam yang berada dalam keadaan bergelap dan mencurigakan itu dikesan sepasukan anggotanya semasa membuat rondaan di 0.2 batu nautika dari Pulau Sapi pada jam 9.15 Rabu lalu.

“Sebaik dihampiri bot pam berkenaan bertindak agresif sebelum memecut laju bagi mengelakkan diperiksa oleh anggota APMM menuju ke kawasan cetek di perairan Pulau Sapi sebelum terjun ke laut dan menghilangkan diri.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot terbabit mendapati terdapat bahan letupan serta peralatan menyelam yang dipercayai digunakan untuk membuat bom ikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata bot pam berkenaan kemudiannya dirampas dan akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana dipercayai menangkap ikan menggunakan kaedah bom.

“Tangkapan ini adalah kes kali kedua yang direkodkan APMM sejak awal bulan ini dan rata-rata kejadian adalah pemilik bot yang didapati melakukan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan bergelap akan meninggalkan bot bagi mengelakkan ditahan anggota kita.

“APMM memandang serius kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah bom dan kita akan giat menjalankan operasi secara berterusan bagi membendung kegiatan ini daripada berleluasa,” katanya.

Advertisement