Anda di sini

Abdul Karim sambut baik pelawaan Masidi bincang Cukai Pelancongan

Advertisement

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyambut baik pelawaan Menteri Pelanco-ngan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkaitan memorandum Cukai Pelancongan.

Beliau memberitahu memorandum itu bukan bererti kerajaan negeri membantah pelaksanaan cukai tersebut tetapi mahu memastikan semua pihak terlibat termasuk pemain industri pelancongan dan pengendali perhotelan mendapat maklumat jelas mengenai perkara berkenaan.

Menurutnya, memorandum akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dikumpul bagi memperhalusi perkara berkaitan pelaksanaan cukai tersebut supaya memberi manfaat kepada Sarawak dan Sabah.

“Saya amat bersetuju dengan apa dikatakan Datuk Masidi, perkara yang perlu diperhalusi berkenaan dengan Cukai Pelancongan ini perlu dibuat dengan pendekatan bersama.

“Sebab itu dari mula-mula lagi saya sudah katakan kita perlu duduk berbincang, ia tidak dapat dilaksanakan secara tergesa-gesa untuk memastikan semua pihak terlibat gembira dan memahami mekanisma pelaksanaan-nya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan khas bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Auditorium DBKU di sini semalam.

“Ini bukan bererti kita membantah pelaksanaan cukai ini, ia telah dilulus Dewan Rakyat namun perkara lain perlu diperhalusi seperti siapa akan kutip cukai ini di mana wang ini hendak diserah termasuk bagaimana resit dan sebagainya,” jelas Abdul Karim.

Malah, beliau memberitahu pihaknya sentiasa terbuka untuk menjalankan perbinca-ngan bersama rakan di Sabah mengenai perkara tersebut.

“Minggu lepas pun pegawai Sabah dan Sarawak ada berjumpa, kita sentiasa bersatu sebagai sebuah Borneo kerana kita bersama-sama menubuhkan Malaysia dengan rakan di Semenanjung,” tegasnya.

Semalam, Masidi menyata-kan kesediaannya bekerja-sama dengan Sarawak dengan menjemput Kementerian Pelancongan Sarawak bagi membincangkan beberapa isu berkaitan.

“Hasil perbincangan itu akan dikemukakan kepada ketua menteri dan kabinet negeri masing-masing dalam bentuk memorandum kepada kerajaan persekutuan untuk pertimbangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan sama, Abdul Karim memberitahu pelaksanaan Cukai Pelancongan itu diyakini akan memberi manfaat kepada rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

“Saya melihat perkara ini secara positif, saya gembira ia memberi kesan baik untuk negeri dan sudah dimaklumkan bahawa hasil cukai ini akan dibahagi kepada tiga iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Ia akan memberi manfaat lebih kepada Sarawak kerana kebanyakan hasil cukai ini datang dari Sememanjung tetapi disalurkan kepada Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Advertisement