Anda di sini

Tingkat keselamatan keluarga dan rumah menjelang hari raya

Advertisement
 Alijus menyerahkan pelekat dan cenderamata kepada seorang pengguna jalan raya sempena kempen yang dijalankan, sambil diperhatikan oleh Ismaidi dan pegawai-pegawai Bomba Zon Tawau yang hadir.
JAGA KESELAMATAN: Alijus menyerahkan pelekat dan cenderamata kepada seorang pengguna jalan raya sempena kempen yang dijalankan, sambil diperhatikan oleh Ismaidi dan pegawai-pegawai Bomba Zon Tawau yang hadir.

TAWAU: Warga Tawau diingatkan supaya meningkatkan langkah keselamatan keluarga dan rumah masing-masing menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, kelak.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau Alijus Sipil berkata penggunaan elektrik dan dapur perlu diberikan perhatian untuk mengelak risiko kebakaran akibat kecuaian.

Jika ada yang hendak balik bercuti ke luar daerah, matikanlah suis yang mungkin boleh mengakibatkan litar pintas dan berpotensi mendatangkan musibah kebakaran.

Jika hendak memandu jarak jauh pula, pastikan kenderaan dalam keadaan baik, sudah diselenggara dan pemandu mendapat rehat yang secukupnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Jalanraya sempena musim perayaan Hari Raya 2017 peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tawau di Stesen Petronas Jalan Kuhara 1, di sini, Selasa lalu.

Hadir sama, Ketua Bomba Zon Tawau Ismaidi Ismail dan Unit Kesedaran Awam Bahagian Keselamatan Kebakaran Zon Tawau Severinus @Mohd Nidzam Sainkui dan Pengurus Stesen Petronas Muhammad Achmad.

Menyentuh hal berkaitan, Ismaidi berkata seramai 50 pegawai kanan dan anggota Balai Bom di Zon Tawau mengambil bahagian pada kempen itu yang diadakan serentak di Tawau, Kunak, Lahad Datu dan Semporna.

Beliau berkata rekod sepanjang 2017 setakat ini menunjukkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau mencatatkan sebanyak 161 panggilan (79 kebakaran/80 penyelamatan).

Daripada panggilan penyelamatan, sebanyak 17 mangsa meninggal dunia, 12 cedera dan 11 selamat,” katanya.

Menurutnya BBP Lahad Datu pula merekodkan 87 panggilan melibatkan 31 kes kebakaran dan 54 penyelamatan dengan tujuh kematian, lapan cedera dan dua selamat.

BBP Kunak pula, 33 panggilan diterima merangkumi lima kebakaran dan 28 penyelamatan, sementara BBP Semporna 11 panggilan kebakaran (Januari - Februari) dan hanya satu panggilan penyelamatan serta 16 panggilan khidmat khas.

Advertisement