Anda di sini

MyCC beri pengecualian blok bersyarat bagi perjanjian perkapalan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memutuskan untuk memberi pengecualian blok bagi perjanjian perkapalan atas Perjanjian Perkongsian Kapal (VSA) dan Perjanjian Perbincangan Sukarela (VDA) dalam Malaysia atau melibatkan perkhidmatan perkapalan di Malaysia.

Pengecualian berkenaan tertakluk kepada penetapan harga tanpa syarat, cadangan harga atau pengenaan tarif oleh mana-mana pihak terhadap pengguna pengangkutan.

Dalam satu kenyataan kelmarin, suruhanjaya itu berkata, Arahan Pengecualian Blok (BEO) akan bermula pada 7 Julai, 2017 untuk tempoh dua tahun atau sehingga dibatalkan oleh MyCC.

Keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan dan maklum balas awam, pihak berkepentingan industri dan kementerian berkaitan dalam tempoh 30 hari selepas 11 Mei.

Pada 2014, MyCC telah memberikan pengecualian blok selama tiga tahun kepada perjanjian perkapalan yang akan tamat pada 6 Julai, 2017.

Permohonan pembaharuan bagi pengecualian blok VSA dan VDA untuk perkhidmatan perkapalan dikemukakan oleh Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Malaysia (MASA) dan Persatuan Pengusaha-pengusaha Perkapalan Malaysia (SAM) pada 6 Mac, 2017, katanya.

MYCC, dalam melaksanakan kuasa di bawah Seksyen 8 (1) Akta Persaingan 2010, boleh memberikan pengecualian blok, tertakluk, kesemua syarat di bawah Sekyen 5 akta yang sama dipenuhi, iaitu terdapat faedah yang signifikan yang dapat dikenal pasti dari segi teknologi, kecekapan atau sosial yang berbangkit daripada perjanjian itu.

Selain itu faedah berkenaan tidak dapat semunasabahnya diberikan oleh pihak-pihak kepada perjanjian itu tanpa perjanjian itu mempunyai kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan.

Ia juga termasuk kesan buruk perjanjian itu pada persaingan adalah bersekadar dengan faedah yang diberikan dan perjanjian tersebut tidak membenarkan perusahaan menghapuskan persaingan sama sekali berkenaan dengan sebahagian besar barangan atau perkhidmatan.

Menurut MyCC, BEO bagaimanapun, tidak mengecualikan atau memberikan imuniti kepada mana-mana penyalahgunaan kedudukan dominan di bawah Seksyen 10 akta yang sama.

Oleh itu, pihak-pihak dalam perjanjian perkapalan masih boleh didapati bertanggungjawab terhadap pelanggaran jika didapati menyalahgunakan kedudukan dominan mereka dalam pasaran perkapalan,” katanya.

Menurut MyCC, BEO tidak meliputi pengangkutan darat dan pergudangan barangan.

Di samping itu, BEO membenarkan pengendali perkapalan menawarkan, atas dasar kontrak peribadi yang sulit, pengaturan perkhidmatan mereka sendiri, atas syarat tertentu, katanya. — Bernama

Advertisement