Anda di sini

Mustapa gesa lebih banyak dana untuk syarikat pemula niaga teknologi

Advertisement
 Mustapa (dua kiri) bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (dua kanan) menyaksikan pertukaran dokumen pembiayaan antara Axiata Digital Innovation Fund dan IX Telecom Sdn Bhd di Menara MITI, Kuala Lumpur semalam. Axiata Digital diwakili Rakan Kongsi Intres Capital Partners, Amin Shafie (kanan) manakala IX Telecom diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Mohd Helmi Nong Hadzmi (kiri). — Gambar Bernama
TERMETERAI: Mustapa (dua kiri) bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (dua kanan) menyaksikan pertukaran dokumen pembiayaan antara Axiata Digital Innovation Fund dan IX Telecom Sdn Bhd di Menara MITI, Kuala Lumpur semalam. Axiata Digital diwakili Rakan Kongsi Intres Capital Partners, Amin Shafie (kanan) manakala IX Telecom diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Mohd Helmi Nong Hadzmi (kiri). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemodal teroka swasta memperuntukkan lebih banyak dana untuk syarikat pemula niaga (start-up) teknologi tempatan selain untuk syarikat teknologi yang pesat berkembang (scale-up).

 Beliau berkata Malaysia mempunyai banyak syarikat start-up dan scale-up yang inovatif dan sangat memerlukan dana, namun akibat kurangnya aktiviti promosi dan pemasaran, membendung potensi pertumbuhan mereka.

 “Kita mempunyai permata yang belum digilap. Oleh itu, mreka perlu dipadankan dengan pemodal teroka supaya mereka sentiasa mempunyai peluang (untuk dana).

 “Apa yang perlu kita lakukan ialah mengumpul pemodal teroka dengan mereka yang memerlukan (wang),” katanya kepada pemberita di luar Sesi Pitch Untuk start-up dan scale-up Teknologi di sini semalam.

 Mustapa berharap platform pitching akan menggalakkan lebih banyak GLC dan permodal teroka untuk mengambil bahagian dalam persekitaran yang kini dikuasai oleh entiti kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd, Malaysia Venture Capital Management Bhd dan lain-lain.

 Beliau berkata walaupun terdapat banyak dana negara, ada yang ditegah daripada melabur dalam start-up dan scale-up seperti Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 “Kita mahu menggalakkan ekonomi digital dan e-dagang (Oleh itu) kita perlu mengubah keseimbangan (antara dana kerajaan dan dana swasta), yang kini pada 70:30 (dana kerajaan: dana swasta),” katanya. — Bernama

Advertisement