Anda di sini

MAB tempah 10 pesawat Boeing 737 MAX 10

Advertisement

KUALA LUMPUR: Boeing dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) mengumumkan tempahan 10 pesawat 737 MAX 10, bernilai AS$1.25 bilion (AS$1=RM4.30) pada harga senarai, semasa Pameran Udara Paris 2017.

Pengumuman itu sekali gus menukar 10 pesawat 737 MAX milik syarikat penerbangan nasional itu ketika ini, kepada versi terbaharu daripada kumpulan kapal terbang tersebut.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew berkata, persaingan dan perniagaan syarikat penerbangan itu terus berkembang dengan didorong kecekapan unggul di samping kapasiti tambahan kapal terbang baharu itu akan mempertingkatkan keupayaan MAB selain menawarkan tambang ekonomi dan perniagaan termasuk semua terbaik kepada penumpangnya.

Pada masa kini MAB menggunakan lebih 50 pesawat 737 Next Generation,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Pada 2016, syarikat penerbangan nasional tersebut menempah 25 pesawat 737 MAX, dan 10 kapal terbang baharu yang akan menjadi tambahan kepadanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Jualan dan Pemasaran Global, Boeing Commercial Airplanes, Ihssane Mounir berkata, Boeing berbangga menjadi rakan MAB sejak lebih 40 tahun.

737 MAX 10 akan menjadi pesawat lorong tunggal paling menguntungkan yang menawarkan kos tempat duduk terendah, dan melengkapkan kumpulan pesawat lorong tunggal 737.

Keseluruhan kumpulan 737 MAX direka bentuk untuk menawarkan prestasi, kefleksibelan dan kecekapan luar biasa, serta rangkaian luas yang akan membuka destinasi baharu dalam pasaran pesawat lorong tunggal,” katanya.

Seperti model 737 MAX yang lain, MAX 10 menggabungkan enjin berteknologi terkini, sayap lawi berteknologi canggih, rekaan dalaman udara Boeing, paparan dek pesawat yang lebih besar, dan penambahbaikan lain bagi menyediakan kecekapan, kebolehpercayaan dan keselesaan penumpang terbaik dalam pasaran pesawat lorong tunggal. — Bernama

Advertisement