Anda di sini

Kelengkapan Aidilfitri kini hanya di hujung jari

Advertisement
 Hidayah bersama salah satu koleksi beg tangan yang beliau beli dalam talian.
KOLEKSI: Hidayah bersama salah satu koleksi beg tangan yang beliau beli dalam talian.

KAIN sampin, baju Melayu, songkok, baju kurung tradisional atau moden, kuih raya, biskut raya, ketupat, lemang dan segala kelengkapan Hari Raya Aidilfitri kini hanya berada di hujung jari tanpa perlu berkunjung ke pusat beli-belah atau pasar raya untuk mendapatkannya.

Sebut sahaja apa yang diinginkan atau diperlukan, semuanya boleh didapati melalui perkhidmatan pembelian dalam talian atau lebih dikenali sebagai ‘online shopping’.

Jadi, tidak hairanlah pada musim perayaan ini portal dan laman sosial yang menyediakan perkhidmatan pembelian dalam talian akan menjadi tumpuan baharu buat kaki beli-belah untuk mencari barang persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Antara portal pembelian dalam talian yang popular ialah Mudah.com, Lelong, Zalora, Lazada, Reebonz, Groupon dan banyak lagi.

Tidak kurang juga laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya turut menjadi medan niaga buat peniaga dunia maya yang menjual dari pelbagai jenis pakaian hinggalah aneka jenis makanan dan minuman pada harga yang sangat berpatutan.

BELI DALAM TALIAN

Salah seorang kaki beli-belah dalam talian Nur Hidayah Ariff, 24, berkata, beliau mula berjinak-jinak membeli secara maya sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, tahun ini hampir separuh daripada persiapan untuk menyambut Aidlfitri dibeli dalam talian.

Membeli dalam talian banyak kelebihan, seperti pilihan barangan yang hendak dibeli tidak terhad dan luas.

Sebagai contoh saya boleh membeli barang atau produk yang ada di tempat lain walaupun tidak dijual di pasaran di sini.

Di samping itu, saya dapati terdapat barang berjenama dan tulen yang dijual dalam talian lebih murah berbanding di butik atau pusat beli-belah.

Seperti baju Melayu suami saya, kalau di pusat beli-belah, harganya boleh mencecah RM200 sepasang. Tetapi jika dibeli dalam talian untuk kualiti dan jenama yang sama, harganya jauh lebih murah,” katanya.

TURUT BERNIAGA

Menurut Hidayah, beliau juga aktif berniaga secara maya pada musim perayaan ini dengan menjual pelbagai jenis barangan seperti peralatan solek menerusi sistem perniagaan ‘dropship’.

Mengulas lanjut beliau berkata, kaedah dropship adalah salah satu cabang perniagaan dalam talian yang amat mudah dan popular dalam kalangan peniaga alam maya pada masa kini.

Ini kerana ia tidak memerlukan modal yang besar, selain pendapatan yang agak lumayan.

Sebagai contoh saya mengiklankan baju kurung atau baju Melayu di laman Facebook saya, kemudian jika ada pelanggan yang menempah, saya akan mengirim maklumat pelanggan seperti nama, alamat, nombor telefon kepada pembekal.

Kemudiannya, saya akan dibayar oleh pembekal ke atas keuntungan dalam bentuk komisen ataupun saya akan membayar kos produk kepada pembekal mengikut syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya.

KONGSI MINAT

Minat membeli-belah dalam talian juga turut dikongsi bersama kakak ipar Hidayah, iaitu Lidyawati Ali Basah, 30.

Menurut Lidyawati, beliau kini tidak perlu lagi bersusah payah membuat kuih dan biskut raya, kerana aneka jenis kuih dan biskut raya ada dijual di laman sosial oleh peniaga dalam talian.

Katanya, faktor menjimatkan masa, wang, tenaga dan mudah mendapatkan barangan dari luar negeri mendorong beliau membuat pembelian secara dalam talian.

Kini kuih dan biskut raya sudah ada dijual dalam talian.

Kita hanya perlu membuat tempahan dan membayar kepada penjual dan mereka akan menghantar ke rumah sama ada melalui perkhidmatan pos atau peribadi.

Selain itu, ketupat dan lemang juga ada dijual dalam talian terutama oleh peniaga di laman Facebook.

Malah ada juga menawarkan khidmat memotong rumput, mengecat rumah pada musim perayaan,” katanya.

KAWAL DIRI

Bagaimanapun Lidyawati berkata, berbelanja dalam talian harus dilakukan dengan bijak, lebih-lebih lagi pada musim perayaan ini.

Nafsu membeli pasti akan menguasai diri jika tidak dikawal dengan baik kerana kita akan mudah tertarik dengan pelbagai barangan yang ditawarkan dalam talian.

Barang-barang yang ditawarkan oleh peniaga dalam talian sangat menarik dan harganya amat berpatutan. Jadi amat mudah untuk jari ini menekan butang ‘Beli’ pada skrin telefon pintar.

Jika tidak dikawal, sudah pasti akan menyebabkan kita ‘over budget’ atau terlebih berbelanja hingga menjurus kepada masalah kewangan kemudian hari,” ujarnya.

Kecanggihan teknologi masa kini telah menguatkan lagi persepsi dalam kalangan pembeli dalam talian bahawa berkunjung ke pusat beli-belah atau pasar raya seakan-akan membazir masa dan tenaga.

Dikatakan juga membeli-belah dalam talian lebih jimat kerana terdapat aplikasi yang membolehkan mereka untuk membandingkan harga dan tawaran menarik ke atas sesuatu produk atau barangan bagi mendapatkan nilai yang lebih berbaloi untuk setiap perbelanjaan.

DASAR KERAJAAN

Jadi tepatlah langkah kerajaan untuk membangunkan ekonomi digital menerusi pelbagai dasar yang telah diumumkan seperti pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital di negara ini yang juga merupakan yang pertama di dunia.

Ia bertujuan untuk menggalakkan lebih banyak pihak terlibat dalam sektor e-dagang negara dan seterusnya membantu menambah pendapatan rakyat menerusi dunia perniagaan dalam talian.

Kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg juga telah mengambil langkah tepat apabila memperuntukkan RM1 bilion sebagai modal permulaan bagi pembangunan infrastruktur digital di negeri ini.

Ini bertujuan supaya Sarawak mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara ekonomi digital lain seperti Australia, China, Jepun dan Singapura.

Sehubungan itu, beliau berkali-kali menyeru rakyat di negeri ini supaya terlibat secara langsung dalam ekonomi digital agar sandaran terhadap ekonomi tradisional mampu berganjak kepada ekonomi digital seiring dengan kemajuan global.

 Sebahagian daripada biskut, kerepek dan kek untuk persiapan Aidilfitri yang Lidyawati beli dalam talian.
SEMUA ADA: Sebahagian daripada biskut, kerepek dan kek untuk persiapan Aidilfitri yang Lidyawati beli dalam talian.
  • oleh
  • Advertisement