Anda di sini

ESSCom buru 18 warga asing

Advertisement

Mereka disyaki terlibat dalam jenayah rentas sempadan di ESSZone

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) semalam mengeluarkan senarai terbaharu 18 individu yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Komandernya DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kesemua suspek itu yang merupakan warga asing dikehendaki pasukan keselamatan negara bagi membantu menyelesaikan isu jenayah yang berlaku pada tahun lalu.

Setelah kita teliti dan siasat termasuk mendapatkan maklumat terkini daripada rakan kita di Filipina, 18 individu ini adalah senarai terbaharu dikehendaki dan disyaki terbabit dalam beberapa kes jenayah rentas sempadan yang belum ditahan dan diberkas sama ada oleh pasukan keselamatan kita mahupun pasukan keselamatan Filipina sepanjang tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, senarai itu turut memasukkan Ketua Kumpulan Abu Sayyaf di Basilan yang juga Ketua Elemen Islamic State (IS) di Selatan Filipina, Isnilon Hapilon serta Ketua Kumpulan Militan Maute di Bandar Marawai, Abdullah Maute.

Kita khuatir mereka semua ini akan melarikan diri ke mana-mana negara termasuk ke Malaysia melalui Sabah ekoran tindakan ketenteraan yang sedang dilakukan oleh kerajaan Filipina bagi menghapuskan pemberontak Maute di Marawi City.

Kita khuatir mereka ini akan masuk ke negara kita sama ada menyamar sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) ataupun sebagai nelayan asing,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Wan Abdul Bari meminta orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat kepada ESSCom dan pasukan keselamatan bagi membolehkan tindakan yang sewajarnya diambil termasuk menjejaki 18 individu itu.

Berikut nama 16 lagi individu yang disenarai ESSCom sebagai dikehendaki iaitu Hatib Hajan@Sawadjan, Alden Badge@Sayning, Apo Mike@Majan Sahidjuan, Marajan Asiri, Indang Susukan, Raden Abuh, Halipah Ibrahim, Salvador Muktadil@Badong, Ben Yadah@Ben Tattoh dan Arrah Saminddih.

Selain itu, Boy Intel, Berham Luthien@Vietnam, Sabri Madrasul@Salip Jul, Las Pangit, Sangbas dan Salip Mura

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan individu yang disenaraikan di atas, boleh menghubungi Bilik Gerakan ESSCom di talian 089-863181 atau WhatsApp ke 013-880 3585 atau 019-230 5909 ataupun balai polis yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — Bernama

Advertisement