Anda di sini

5,244 pengguna Sabah berdaftar VSP

Advertisement
 Yeo (tengah) semasa merasmikan Program Kayuhan Mesra Ronda Jenayah dan Pelancaran VSP, diperhatikan Fadzillah (dua kiri) dan Chandra (dua kanan).
KAYUHAN MESRA: Yeo (tengah) semasa merasmikan Program Kayuhan Mesra Ronda Jenayah dan Pelancaran VSP, diperhatikan Fadzillah (dua kiri) dan Chandra (dua kanan).

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menghasilkan aplikasi baharu iaitu Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang menggantikan ‘Rakan Cop’ dalam mengurangkan jenayah setempat.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai berkata aplikasi VSP yang dapat menghubungkan masyarakat dan pihak PDRM dengan mudah kini digunakan seramai 5,244 rakyat Sabah daripada 28,608 seluruh Malaysia menjadikannya jumlah kedua tertinggi selepas Selangor.

Dengan adanya teknologi moden ini, saya harap lebih ramai warga bandar raya akan mendaftarkan diri dengan VSP sehingga matlamat untuk mendapat keahlian 20 peratus daripada penduduk Sabah tercapai.

Sistem baharu ini juga dilihat dapat membantu mencegah jenayah selain membantu pihak polis menyelesaikan kes di kawasan sekitar terutamanya sepanjang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kayuhan Mesra Ronda Jenayah dan Pelancaran VSP di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.

Turut hadir ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Senior Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra dan Ketua BJPKK Kalsom Idris.

Yeo berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan pihak PDRM akan terus menjalinkan kerjasama bagi memastikan keselamatan warga bandar raya sentiasa terpelihara dari semasa ke semasa.

Warga bandar raya juga disarankan untuk terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada IPD Kota Kinabalu termasuk mengambil bahagian dalam program pencegahan jenayah untuk manfaat bersama,” katanya.

Advertisement