Anda di sini

Transformasi digital amat diperlukan

Advertisement

Pemimpin perniagaan M’sia setuju pendigitalan mampu tingkatkan hasil

KUALA LUMPUR: Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd berkata, 88 peratus daripada pemimpin-pemimpin perniagaan di Malaysia bersetuju perniagaan perlu mengalami transformasi digital bagi membolehkan pertumbuhan masa depan.

 Pengarah Operasi dan Pemasaran Michal Golebiewski berkata, Kajian Transformasi Digital Microsoft Asia bagi memahami bagaimana pemimpin-pemimpin perniagaan menerima era digital mendapati bahawa pemimpin perniagaan, khususnya yang mempunyai kedudukan yang tinggi seperti Ketua Eksekutif, bersetuju bahawa kilasan data terkini mampu meningkatkan hasil dan membawa kepada arus pendapatan yang baharu.

 “Bagaimanapun, hanya 34 peratus daripada syarikat-syarikat ini mempunyai strategi yang lengkap dan bersedia bagi pendigitalan perniagaan mereka menggunakan proses digital yang termaju serta matang, mempunyai kakitangan yang sudah bersedia dan mengadakan sistem sokongan bagi melayan pelanggan mereka,” kata Golebiewski dalam satu taklimat kepada media di sini semalam.

 Beliau berkata perjalanan transformasi digital bagi kebanyakan organisasi di Malaysia adalah masih di peringkat awal, di mana sebanyak 47 peratus daripada mereka hanya membangunkan inisiatif yang spesifik bagi bahagian- bahagian yang terpilih daripada perniagaan mereka, manakala 19 peratus daripada organisasi ini masih mempunyai strategi yang amat terhad atau langsung tidak ada perancangan.

 “Inovasi adalah kunci untuk transformasi digital. Di Malaysia, walaupun ia mampu mencipta inovasi ke arah mewujudkan produk baharu, membolehkan model-model perniagaan dan mencipta arus pendapatan yang baharu, ia masih tidak diberi keutamaan.

 “Kita perlu meningkatkan dari sekarang. Jika anda mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang inovatif, kita perlu bekerjasama dan membantu syarikat permulaan serta besar untuk membawa masuk produk-produk terkini,” kata beliau ketika mengulas mengenai bagaimana syarikat Malaysia boleh meletakkan keutamaan-keutamaan dalam bisnes mereka.

 Kajian itu mengenal pasti empat tonggak utama iaitu penglibatan dengan pelanggan (37 peratus), memperkasakan pekerja (28 peratus), mengoptimumkan operasi (23 peratus) dan mentransformasikan produk serta mengadakan model perniagaan baharu (12 peratus).

 Ketika bercakap mengenai teknologi baharu muncul, Golebiewski berkata, kos peranti yang menjadi semakin murah juga menurunkan harga pengkomputeran awan bagi manamana syarikat untuk berubah secara digital, menurut 81 peratus daripada pemimpinpemimpin perniagaan yang ditinjau.

 “Dalam tempoh 12 hingga 18 bulan yang akan datang, pemimpin-pemimpin perniagaan akan tertarik untuk meneroka pelbagai teknologi-teknologi baharu bagi mempercepatkan usaha mencapai transformasi digital, seperti kecerdasan buatan (robot, kenderaan pemanduan sendiri, Internet of Things (IoT) seperti bangunan pintar, peralatan rumah),” katanya.

 Kajian ini dijalankan di antara Oktober hingga Disember 2016, merangkumi seramai 113 pemimpin perniagaan di Malaysia yang telah dipilih selepas terlibat dalam membentuk strategi digital untuk organisasi mereka dan bekerja dengan firma-firma yang mempunyai lebih daripada 250 pekerja. — Bernama  

Advertisement