Anda di sini

Perkasa Sabah pandang serius isu pekerja sambilan belum terima gaji

Advertisement

KOTA KINABALU: Per-tubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Negeri Sabah memandang serius masalah melibatkan pekerja sambilan di sebuah jabatan kerajaan yang belum dibayar gaji sejak Januari hingga kini.

Yang Dipertua PERKASA Negeri Sabah Abdul Hamid Harun berkata, beliau mendapat maklumat mengenai terdapat kakitangan jabatan kerajaan khususnya pekerja sambilan yang belum dibayar gaji sejak awal tahun ini.

Beliau sendiri turun padang bertemu dengan staf jabatan berkenaan dan menyiasat sejauh mana kebenaran dakwaan itu, dan mendapati memang terdapat pekerja sambilan yang belum dapat bayaran gaji antara empat dan lima bulan hingga sekarang.

Jelasnya, isu itu juga menjadi tular dalam media sosial dan sesuatu perlu dilakukan agar pekerja-pekerja itu mendapat bayaran gaji yang menjadi hak mereka.

Menurutnya, PERKASA Sabah memandang serius perkara itu memandangkan pekerja terlibat kebanyakannya adalah anak Bumiputera negeri Sabah.

Secara automatik penderitaan mereka ini menjadi agenda penting yang perlu diperjuangkan oleh PERKASA Sabah dan dibawa ke perhatian pihak yang berkenaan agar dapat dicari punca permasalahannya dan diusahakan jalan penyelesaiannya,” katanya.

Semua pihak harus bekerjasama dengan kerajaan menyiasat perkara itu dan seterusnya membantu menyelesaikan masalah itu lebih-lebih lagi dengan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba dalam beberapa hari sahaja lagi.

Ini bukan masa untuk menuding jari menyalahkan mana-mana pihak tetapi masanya yang paling sesuai menunjukkan kesatuan rakyat Sabah membela sesama rakyat tanpa mengira latar belakang.

Saya selaku Yang Dipertua PERKASA Negeri Sabah sentiasa berpegang pada prinsip membela nasib warga Sabah khususnya peribumi,” katanya yang juga naib presiden PERKASA Malaysia.

Menurutnya bukan isu gaji sahaja yang mengalami tunggakan dan kelewatan pembayaran, malah pihaknya juga ada mendapat aduan daripada pihak kontraktor yang berkhidmat dengan satu jabatan, ramai yang mengeluh masih belum mendapat bayaran sehingga lebih tujuh bulan.

Ini amat merungsingkan kerana saya melihat sekiranya perkara ini berterusan, tidak mustahil peniaga dan kontraktor terutamanya yang diusahakan anak-anak Bumiputera akan mengalami kemerosotan dan lebih teruk mungkin akan lingkup dan gulung tikar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar bekerjasama mencari rumusan yang tepat menyelesaikan isu-isu serius melibatkan periuk nasi rakyat Sabah.

Advertisement