Anda di sini

Peniaga pasar malam dipenjara lima tahun dan satu sebatan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga pasar malam dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyamun seorang pemandu Uber menggunakan besi, tahun lepas.

Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Yushup Masrial, 31, dan memerintahkan bapa dua anak tersebut menjalani hukuman berkenaan bermula tarikh tangkap pada 26 Mac lepas.

Tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara bagi kes dadah di Penjara Seremban, Negeri Sembilan.

Lelaki itu didakwa telah melakukan rompak sehingga menyebabkan kecederaan terhadap pemandu Uber, Mohd Almizi Muhammad, 37 dan merampas sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM500 di Jalan Semarak, di sini, pada 4.30 petang, 20 Nov tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan sebat. Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai dua orang anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz memohon hukuman setimpal dengan alasan kesalahan itu adalah serius yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Mengambil kira kekerapan kes dan kecederaan yang dialami mangsa serta kepentingan awam, mohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu menerima panggilan telefon daripada seorang pelanggan bernama ‘Aina’ untuk menjemputnya di Jalan Semarak, tetapi setibanya di tempat kejadian, Aina gagal dihubungi. — Bernama

Advertisement