Anda di sini

Pengebom ditembak mati di Belgium

Advertisement

Orang ramai panik, suspek dibunuh anggota tentera sebelum ledak bom lebih besar

 Kebakaran marak di tempat kejadian di atas pelantar stesen pusat di Brussels, kelmarin. — Gambar Reuters
MENGGEMPARKAN: Kebakaran marak di tempat kejadian di atas pelantar stesen pusat di Brussels, kelmarin. — Gambar Reuters

BRUSSELS: Polis anti-terorisme Belgium sedang menyiasat motif seorang suspek yang disyaki pengebom nekad dan ditembak mati oleh anggota tentera yang menjaga sebuah stesen kereta api di Brussels selepas dia meledakkan bahan letupan yang tidak mencederakan sesiapa.

Kami menganggap ini satu serangan pengganas,” kata pendakwa Eric Van Der Sypt kepada pemberita.

Badan penyiaran VTM memetik Menteri Dalam Negeri Jan Jambon sebagai berkata penyiasat sudah mengenali identiti lelaki terbabit tetapi enggan mendedahkan namanya.

Sebutir lagi bom yang lebih besar gagal meletup, kata VTM.

Badan penyiaran awam VRT berkata penyiasat percaya lelaki itu mempunyai bom paku yang gagal untuk meletup sepenuhnya.

Walaupun tiada yang cedera, kepulan asap yang menyelubungi Stesen Sentral memaksa komuter petang lari untuk mencari pelindungan.

Polis menghentikan trafik kereta api, mengosongkan lokasi dan lebuh yang sesak dengan pelancong serta penduduk yang menikmati malam musim panas di pusat bandar raya bersejarah di antara stesen berkenaan dengan Grand Place yang berdekatan, dataran bandar Renaissance yang menjadi mercu tanda Brussels.

Ibu negara Belgium, yang menempatkan ibu pejabat NATO dan Kesatuan Eropah, sudah dalam keadaan berjaga-jaga sejak satu sel Islamic State di Brussels merancang serangan yang mengorbankan 130 orang di Paris pada November 2015.

Kenalan penyerang tersebut membunuh 32 orang di bandar raya asal mereka empat bulan kemudian, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keganasan selanjutnya di bandar raya di mana hampir sesuku populasi seramai 1.2 juta orang adalah Muslim.

Saksi bercakap mengenai seorang lelaki yang menjerit “Allahuakbar” dalam sebuah kawasan bawah tanah di stesen berkenaan yang masih sibuk dengan komuter yang dalam perjalanan pulang dan dipercayai meledakkan satu atau dua letupan kecil.

Pakar keselamatan berkata insiden kelmarin mungkin sama dengan serangan ‘serigala tunggal’ yang dijalankan oleh individu radikal dengan akses terhad kepada senjata dan latihan.

Dia membandingkan insiden kelmarin dengan insiden di lebuh Champs-Elysees di Paris sehari sebelum itu, apabila seorang lelaki maut apabila dia merempuh konvoi polis Perancis dengan keretanya yang diisi dengan bahan letupan dan senjata. Tiada orang lain yang cedera.

Pekerja kereta api Nicolas Van Herrewegen mendakwa sedang berjalan ke tingkat bawah menuju pelantar bawah tanah yang mempunyai landasan pinggir bandar dan jarak jauh yang bergerak di bawah pusat bandar raya.

Seorang lelaki menjerit, dan menjerit dan menjerit,” katanya.

Dia bercakap mengenai pejuang jihad dan semua itu dan kemudian pada satu ketika dia menjerit, ‘Allahuakbar’ dan meletupkan beg pakaian kecil yang ada di sisinya. Orang lari bertempiaran.”  

Dia menggambarkan lelaki itu sebagai agak gelap dan dengan rambut pendek dan berkata dia memakai baju putih dan seluar jean hitam.

Remy Bonnaffe, 23, peguam yang menunggu kereta api untuk pulang ke Ghent, berkata dia dikejutkan oleh satu letupan ketika dia mendengar muzik menerusi telefon bimbit. 

Dia mengambil gambar, yang dia kemudian paparkan dalam Twitter, bagi api yang melonjak ke atas dari apa yang dia sangka adalah beg pakaian. Letupan kedua berlaku lebih jauh lagi, yang dia tidak dapat lihat, diikuti bunyi tembakan, mendorongnya lari.

Sementara Perdana Menteri Charles Michel berunding dengan penasihat keselamatan, amaran kebangsaan kini pada tahap kedua tertinggi. — Reuters

Advertisement