Anda di sini

Ketua jururawat didakwa sembunyi wang suri rumah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang ketua jururawat sebuah hospital kerajaan hanya mampu menitiskan air mata kerana terpaksa menyambut Aidilfitri di sebalik tirai besi akibat gagal membayar wang jaminan atas pertuduhan dihadapinya di Mahkamah Majistret Ampang di sini, semalam.

Emiliana Saigol @ Martha, 58, dilihat menyapu air mata dan bercakap dengan anak lelakinya sejurus selepas mahkamah selesai bersidang dan membenarkan dia diikat jamin RM49,000 atas tujuh pertuduhan menyembunyi atau memindahkan wang milik seorang suri rumah berjumlah RM284,000 ke dalam akaunnya, dua tahun lalu.

Petugas di hospital di Lahad Datu, Sabah, itu gagal membayar jaminan dan dihantar ke Penjara Kajang.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu, didakwa di dua mahkamah majistret berasingan atas tujuh pertuduhan menyembunyi atau memindahkan harta bukan miliknya melalui akaun Maybanknya yang menyebabkan kerugian bagi mangsa berusia 55 tahun itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank Ampang Point dan CIMB Bank Ampang Point, antara 23 Sept 2015 dan 19 Okt 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim dan Raihanah Abd Razak masing-masing menawarkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang bersesuaian kerana tertuduh menetap di Sabah.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Majistret Haslinda A. Raof membenarkan Emiliana diikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Ogos untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement