Anda di sini

Empat syarikat gagal kemuka penyata GST dikena tindakan

Advertisement

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sarawak mengambil tindakan undang-undang terhadap empat syarikat kerana gagal mengemukakan penyata GST-03 mengikut tempoh ditetapkan.

Pengarah Kastam negeri Datin Sharifah Halimah Tuanku Taha dalam kenyataannya semalam, berkata selain itu tindakan sama turut diambil ke atas dua syarikat melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 sepanjang tahun 2017.

Baru-baru ini katanya, Mahkamah Sesyen Kuching telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM12,000 kepada sebuah syarikat pembinaan dan RM22,000 terhadap syarikat telekomunikasi.

Kedua-dua syarikat tersebut telah didakwa di bawah Seksyen 41(6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 kerana gagal mengemuka penyata GST-03 dan bayaran GST mengikut tempoh ditetapkan.

Beliau mendedahkan, sepanjang 2016 sebanyak 12 syarikat telah didakwa di mahkamah yang sama atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang membabitkan jumlah denda sebanyak RM287,000.

Advertisement