Anda di sini

Dron Utara satu provokasi serius: Selatan

Advertisement
 Dron didakwa milik Korea Utara ditunjukkan kepada media pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di Seoul, semalam. — Gambar AFP
INTIP: Dron didakwa milik Korea Utara ditunjukkan kepada media pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di Seoul, semalam. — Gambar AFP

SEOUL: Tindakan yang disyaki pengawasan dron oleh Korea Utara adalah satu provokasi serius yang mencabul gencatan senjata Perang Korea, kata Seoul semalam, dan menuntut siasatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas sebuah dron yang terhempas dekat sempadan.

Sebuah dron, yang telah menggambar perisai pertahanan misil Amerika Syarikat yang kontroversi, disedari awal Jun lalu setelah ia terhempas berhampiran sebuah kemudahan tentera yang sensitif di sepanjang sempadan yang dikawal ketat, kata tentera Seoul.

Tindakan terbaharu oleh Korea Utara adalah satu provokasi yang serius dan pencabulan gencatan senjata yang semberono,” kata Jeon Dong-Jin, timbalan pengarah pertama Ketua Turus Angkatan Tentera Korea Selatan, merujuk kepada perjanjian yang menamatkan perang 1950-53.

Siasatan lengkap ke atas bangkai dron itu menemui jadual perjalanannya dan mengesahkan ia telah berlepas dari Korea Utara sebelum ia mengambil lebih 500 gambar dalam wilayah Korea Selatan, kata kementerian pertahanan.

Kami mengecam sekeras-kerasnya siri provokasi dron oleh Korea Utara dan menggesanya untuk menghentikan semua provokasi sedemikian dengan segera,” kata Jeon, dan menjanjikan tindak balas keras terhadap sebarang tindakan lanjut oleh Pyongyang.

Korea Selatan telah meminta siasatan oleh Pemerintah PBB yang bertanggungjawab menyelia gencatan senjata, yang menamatkan konflik terbuka antara kedua-dua pihak, tetapi tidak pernah diganti dengan perjanjian damai muktamad.

Tentera Seoul berkata ia sedang mempertingkatkan pertahanan negara untuk menentang kegiatan pengintipan yang berpotensi atau malah serangan pada masa depan oleh dron Korea Utara, dan menambah lebih banyak radar pengawasan sempadan dan senjata anti- pesawat untuk menembak jatuh dron.

Gambar yang diambil dari dron terbaharu termasuk beberapa pemandangan tapak bagi sistem Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi Terminal (THAAD) dalam daerah tenggara Seongju, menurut tentera. — AFP

Advertisement