Anda di sini

Bekas komander esscom zahir rasa terima kasih

Advertisement

LAHAD DATU: Bekas Ko-mander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk DCP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid semalam menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh warga ESSCom dan masyarakat di atas kebersamaan dalam menangani jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Katanya sepanjang beliau menerajui organisasi itu selama setahun enam bulan dan 26 hari, pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi serta ditempuhi bersama.

Menangani ancaman yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman negara merupakan cabaran utama...dugaan ESSCom sering dikritik dan dipersoalkan kerelevanan dan keberkesanan kerana kes penculikan juga satu tamparan hebat.

Tetapi sepanjang menerajui ESSCom, sebanyak 843 operasi termasuk Ops Gasak dilaksana dan berjaya menahan 5,704 pendatang asing tanpa izin, sejumlah 1,057 kes penyeludupan digagalkan dengan rampasan RM14.09 juta direkodkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Penghargaan kepadanya di sini, semalam.

Wan Abdul Bari digantikan dengan Datuk Hazani Ghazali yang sebelum ini bertugas sebagai Komander Unit Tindakan Khas (UTK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

Selain itu, Wan Abdul Bari berkata enam penjenayah daripada 23 senarai dikehendaki di negara ini turut berjaya ditembak mati manakala dua ditangkap dan tiga lagi menyerah diri hasil daripada jalinan kerjasama dua hala dan perkongsian maklumat antara polis dan polis kebangsaan Filipina (PNP).

Sementara itu, beliau turut menasihatkan seluruh warga ESSCom agar berpegang teguh pada nilai-nilai integriti dan keikhlasan dalam menjalankan tugas supaya masyarakat memandang tinggi kepada anggota keselamatan.

Beliau turut menekankan Espirit de corps merupakan elemen utama dalam budaya kerja dan ESSCom yang terbentuk melalui kerjasama pelbagai pasukan keselamatan itu bukan alasan untuk melakukan kerja secara silo atau bekerja dalam komuniti sendiri.

Ketepikan perbezaan warna uniform dan saling melengkapi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan...kepentingan perkongsian dan penyaluran maklumat daripada agensi masing-masing  memainkan peranan utama dalam memastikan kecemerlangan ESSCom,” katanya lagi. — Bernama

Advertisement