Anda di sini

Wanita didakwa tipu juruterbang lebih RM700,000

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang ahli peniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas 10 pertuduhan menipu seorang juruterbang untuk mendapatkan suntikan modal bagi membekalkan baju celoreng digital tentera membabitkan lebih RM700,000, dua tahun lepas.

Norhemira Juliana Abd Rashid, 30, yang sedang hamil lapan bulan mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, tertuduh didakwa telah memperdayakan Muhammad Hafifuddin Abdul Rahman, 26, untuk mempercayai bahawa syarikat miliknya Empayar Dahlia Holding Sdn Bhd memperoleh tender membekalkan baju celoreng digital tentera kepada Kementerian Pertahanan dan syarikatnya memerlukan suntikan modal.

Perbuatannya itu telah mendorong Muhammad Hafifuddin membuat pembayaran keseluruhan berjumlah RM729,950 dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa cawangan Maybank dan Tabung Haji di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang antara 3 Sept 2015 dan 24 Mac 2016  mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamalluddin menawarkan jaminan RM120,000 dengan seorang penjamin atas alasan jumlah itu adalah wajar berdasarkan jumlah kerugian.

Bagaimanapun, peguam Datuk Geethan Ram Vincent memohon jumlah jaminan yang munasabah dengan alasan anak guamnya sedang sarat mengandung lapan bulan.

Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM65,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 11 Julai untuk  sebutan semula kes.

Suami dan anggota keluarga tertuduh hadir di mahkamah. — Bernama

Advertisement