Anda di sini

Remaja mati diserang beruang

Advertisement

LOS ANGELES: Seorang remaja lelaki mati diserang beruang sewaktu menyertai acara lumba lari di Alaska hujung minggu lepas, namun sempat menghantar teks pesanan ringkas kepada keluarganya ketika diserang, kata pihak berkuasa kelmarin.

Patrick Cooper, 16, dari Anchorage, bertanding dalam lumba lari gunung tahunan Ahad lepas yang merentasi permukaan bumi kasar ketika dipercayai terserempak dengan beruang itu.

Dia dilaporkan menghantar SMS kepada anggota keluarga untuk memberitahu dia sedang dikejar haiwan itu.

“Ibunya ada di sini bersama keluarganya, anak-anaknya, mereka menyertai perlumbaan,” kata Nathan Michell, dari Jabatan Polis Anchorage, kepada pemberita.

Pengarah perlumbaan berkata, remaja itu berlari menaiki gunung dan sedang menuruni permukaan yang amat curam menerusi belantara tebal apabila serangan itu berlaku.

Beberapa pelari lain dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian tetapi mulanya tidak dapat mendekatinya kerana haiwan itu masih berada di sekitar kawasan.

“Beruang itu terus berada dalam kawasan di mana pemuda itu berada,” kata Tom Crockett, renjer Taman Negeri Chugach, kepada media tempatan.

Dia berkata seorang renjer taman menembak beruang itu di muka tetapi ia berjaya melarikan diri.

Mayat Cooper dijumpai kira-kira 500 ela dari laluan dalam kawasan berhutan tebal.

Pertemuan dengan beruang jarang berlaku di kawasan itu dan tidak jelas apa yang mendorong serangan itu, kata Crockett.

“Pemuda ini tidak membuat sebarang kesalahan. Dia hanya berada di tempat yang salah,” katanya kepada akhbar Alaska Dispatch News. — AFP

Advertisement