Anda di sini

Lelaki rempuh van polis di Paris

Advertisement
 Pegawai polis menjalankan siasatan ke atas mayat suspek yang ditutup dengan kain putih di tempat kejadian yang telah disita di lebuh Champs-Elysees di Paris, kelmarin. — Gambar AFP
MAUT: Pegawai polis menjalankan siasatan ke atas mayat suspek yang ditutup dengan kain putih di tempat kejadian yang telah disita di lebuh Champs-Elysees di Paris, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Polis Perancis menahan empat anggota keluarga seorang Islamis radikal yang terbunuh setelah merempuh sebuah van polis dengan sebuah kereta yang membawa muatan senapang dan satu botol gas di Champs-Elysees, kata sumber kehakiman semalam.

Bekas isteri, abang dan kakak ipar Adam Dzaziri ditahan lewat petang kelmarin setelah polis menyoal mereka di rumah keluarga di luar Paris.

Bapa penyerang itu turut “ditahan pada sebelah petang”, kata sumber tersebut.

Dzaziri terbunuh dalam serangan kelmarin, tetapi tiada kematian lain berlaku.

Sumber yang dekat dengan siasatan berkata dia sudah berada dalam senarai pemantauan keselamatan di Perancis sejak 2015 berhubung kaitan dengan “pergerakan Islamis yang radikal”.

Bapa suspek memberitahu AFP anaknya “memiliki satu senjata berdaftar, dia berlatih menembak”. Satu sumber yang dekat dengan kes itu berkata lelaki berusia 31 tahun itu mempunyai permit senjata api.

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu, yang berlaku tidak jauh dari tempat di mana seorang pelampau jihad menembak mati seorang anggota polis dua bulan sebelum itu.

Perancis masih dalam keadaan darurat yang dikuatkuasakan selepas serangan pada November 2015 di Paris, apabila pelampau Islamic State (IS) membunuh 130 orang dalam serangan semalaman di beberapa tempat di bandar raya tersebut.

Serangan terbaharu berlaku dua hari sebelum kerajaan Perancis mengumumkan undang-undang antiterorisme baharu, direka untuk membolehkan keadaan darurat ditarik balik.

Sementara itu, seorang pemandu van maut semalam apabila dia merempuh trafik yang sesak di sebatang lebuh raya berhampiran pelabuhan Calais, utara Perancis, di mana pendatang telah menyekat jalan dengan batang pokok, kata seorang pegawai kerajaan tempatan.

Kebanyakan mereka berkumpul di tepi lebuh raya atau sepanjang landasan kereta api yang merentasi Terowong Terusan, dalam usaha untuk cuba bersembunyi di belakang trak atau menumpang kereta api secara senyap-senyap.

“Sembilan pendatang Eritrea yang dijumpai dalam salah sebuah trak barangan berat yang dihentikan oleh sekatan jalan telah ditangkap,” kata pegawai dari wilayah Pas-de-Calais itu. “mereka telah ditahan.”

Van yang berdaftar di Poland berkenaan terbakar apabila ia merempuh trak yang berhenti di lokasi berkenaan sekitar 0145 GMT. Kerakyatan pemandu tidak segera diketahui.

Pendatang kerap cuba menghentikan trak yang menuju ke Britain menerusi Calais, dengan meletakkan cabang pokok atau objek lain di atas lebuh raya untuk memperlahankan atau menghentikan kenderaan supaya mereka dapat menyelinap ke dalam bahagian kargo dan menyembunyikan diri. — AFP

Advertisement