Anda di sini

Jualan amal bantu golongan Penan kurang bernasib baik

Advertisement
 Wong (kanan) bergurau senda bersama dua rakannya yang memberi sokongan terhadap program jualan amal tersebut.
SOKONGAN: Wong (kanan) bergurau senda bersama dua rakannya yang memberi sokongan terhadap program jualan amal tersebut.

DALAM usaha membantu masyarakat Penan dan golongan kurang bernasib baik di Miri, Miri Women Weaving Association mengadakan program jualan amal ‘Summer Boutique Charity Sale’ untuk julung kalinya pada Sabtu lalu.

Program turut mendapat kerjasama sukarelawan sekitar Miri diadakan di House 3, Piasau Boat Club bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

“Biarpun hanya berlangsung selama empat jam sahaja, namun aktiviti ini mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada masyarakat setempat malah mendapat sokongan pelancong luar yang datang ke Miri.

“Selain menawar tempat alternatif untuk persatuan dan sukarelawan menjual serta mempromosi hasil barangan buatan sendiri, juga berpeluang mengumpul dana untuk disalur kepada mereka memerlukan,” jelas Nicole Shea ketika ditemui.

Nicole merupakan koordinator bersama projek terbabit dengan Pengerusi Miri Women Weaving Association, Ann Wong.

Jelasnya, yuran kemasukan dikenakan kepada penjual akan disalur kepada Pusat Sunflower Miri manakala hasil kutipan jualan bakul daripada persatuan akan digunakan membantu masyarakat Kampung Penan yang terlibat.

 Nicole (kiri) melayan salah seorang pembeli yang melihat barangan jualannya.
LAYAN: Nicole (kiri) melayan salah seorang pembeli yang melihat barangan jualannya.

Menurut Wong, hampir RM10,000 anggaran untuk kira-kira 200 bakul dan kraf tangan Penan yang telah berjaya dijual.

“Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap jualan amal ini, kami bercadang untuk mengadakan lagi program yang sama pada masa akan datang.

“Malah, pengasas merangkap penasihat persatuan, Shida Mojet mencadangkan program sama diadakan pada bulan Oktober nanti di sini sempena lawatan ke Miri kelak,” katanya.

Jelas Wong, pihaknya turut akan mengadakan jualan bakul dan kraf tangan Penan di Kuching pada 7 hingga 16 Julai masing-masing di Rainforest Fringe Festival, Old Court House (Kompleks Pelancongan Sarawak dan di Kuching Amphitheatre sempena Rainforest World Music Festival.

Tambah Wong, kutipan hasil jualan membantu masyarakat Penan membeli barang keperluan harian seperti makanan dan ubat-ubatan, program pendidikan serta sebagai modal pusingan bagi projek anyaman bakul dan tenunan.

“Pada masa ini, 20 wanita Penan Long Kevok dan Long Lung di Miri serta beberapa wanita Limbang sedang menghasilkan anyaman bakul mereka.

“Persatuan kami bertindak membantu mempromosi dan memasarkan semua hasil anyaman tersebut dalam usaha membantu meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, Miri Women Weaving Association didaftarkan pada 14 Mac 2016, sebuah persatuan bukan mencari keuntungan membantu penenun di sekitar Miri dalam menyesuaikan diri dengan kemodenan, mendidik mereka menjana pendapatan melalui hasil kraf tangan serta membantu mendapatkan pendidikan formal untuk anak-anak mereka khasnya golongan yang kurang berkemampuan.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai persatuan terbabit atau ingin membeli anyaman bakul serta kraf tangan, boleh melayari laman sesawang media sosial Facebook di bawah nama Penan Women Project atau www.penanwomenproject.org.

  • oleh
  • Advertisement