Anda di sini

Tiga lelaki bebas tuduhan promosikan aktiviti keganasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia daripada pertuduhan mempromosikan aktiviti keganasan di negara ini, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati keterangan pembelaan ketiga-tiga tertuduh iaitu Ali Saifuddin, 30, yang merupakan warga Indonesia, Nor Azmi Jalani, 30, dan Mohd Yusri Mohamed Yusof, 29, berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Keterangan mereka sentiasa konsisten antara satu sama lain, oleh itu mahkamah membebas dan melepaskan ketiga-tiga tertuduh,” katanya.

Beliau berkata menurut keterangan ketiga-tiga tertuduh, kehadiran mereka dalam perbincangan dengan ahli kumpulan yang lain bukan untuk bersetuju atau bersepakat bagi menculik, merompak senjata api, melepaskan tahanan SOSMA dan jihad.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan pembebasan ketiga-tiga lelaki itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan selesai selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail untuk menangguhkan pelaksaanan keputusan itu kerana ketiga-tiga tertuduh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Kesemua tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh.

Pada 30 April lepas, mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, atas pertuduhan terbabit dengan aktiviti keganasan, iaitu berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia antara 30 Jan hingga 5 April tahun ini di No. 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah. — Bernama

Advertisement