Anda di sini

Terap semangat perpaduan, kasih sayang berpanjangan

Advertisement
 Patimah (kanan) bersama Sapawi (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim.
RAHMAT RAMADAN: Patimah (kanan) bersama Sapawi (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim.

SIPITANG: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad mengajak rakyat supaya mensyukuri rahmat Ramadan yang membolehkan ia disambut oleh umat Islam dalam suasana aman damai bersama rakyat berbilang kaum serta kepercayaan.

Sehubungan itu, beliau mahu supaya semangat Ramadan itu yang meliputi aspek perpaduan, kasih sayang, pendidikan dan ekonomi diterap dan dipupuk secara berkekalan sehingga selepas Ramadan.

Katanya, rakyat negara ini bertuah kerana dapat menyambut Ramadan dan seterusnya meraikan Aidilfitri dalam keadaan harmoni berikutan jalinan kesatuan rakyat yang diperkukuh dengan kestabilan kerajaan.

Ramadan juga membawa rahmat ekonomi kerana menjadi medan perniagaan bagi umat Islam menerusi bazar yang diadakan di serata tempat.

Bazar Ramadan menjana ekonomi umat Islam, pembelinya menjangkau semua kaum termasuk bukan Islam, malahan ia menjadi produk pelancongan yang menjadi tarikan pengunjung luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ihya Ramadan anjuran Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Perhubungan Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Sipitang, di sini, kelmarin.

Program dijayakan bersama oleh Yayasan Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Sipitang, Biro Agama UMNO Bahagian Sipitang, Badan Dakwah Daerah Sipitang, Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sipitang, Tabung Anak Yatim Pekan Sipitang dan Bendahari UMNO Sipitang Datuk Ir Mustapa Kassim.

Sempena program itu, kira-kira 400 anak yatim, pelajar kurang berkemampuan dan golongan asnaf menerima sumbangan masing-masing.

Hadir sama, Pengerusi PPIM Perhubungan Negeri Sabah Datin Patimah Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Ahmad Bujang, Ketua Pemuda UMNO Sipitang Yamani Hafez Musa, Ketua Wanita UMNO Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Ketua Puteri UMNO Sipitang Suzie Hamat dan Pegawai Pendidikan Daerah Sipitang Abd Razak Abd Karim.

Sapawi yang juga Pengarah Yayasan Sabah berkata kepelbagaian kaum di negara ini tidak menjadi penghalang untuk sama-sama menikmati kemeriahan Ramadan, justeru ia wajar dikekalkan secara berpanjangan.

Katanya, kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyat merupakan prasyarat bagi kemajuan negeri dan negara keseluruhannya.

Marilah kita terapkan roh dan semangat Ramadan ini demi untuk kemajuan berasas prinsip perpaduan, kasih sayang, pendidikan dan ekonomi, biarpun selepas berakhirnya Ramadan,” katanya.

Mengenai pembangunan Sipitang, Sapawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Sipitang berkata, agenda transformasi pembangunan kini berjalan lancar dan dijangka landskap kemajuan akan dapat dilihat dalam tempoh lima tahun.

Katanya ketika ini projek Lebuhraya Pan Borneo serta projek minyak dan gas adalah antara projek mega yang bakal mengubah wajah Sipitang, kerana kedua-duanya menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi terbesar.

Kerajaan kita komited membawa perubahan untuk rakyat secara menyeluruh, seiring gagasan pimpinan untuk mensejahterakan rakyat,” katanya.

Advertisement