Anda di sini

Peniaga bazar Ramadan perlu utamakan kebersihan

Advertisement

KENINGAU: Seorang pengguna di sini meminta para peniaga makanan dan minuman di gerai-gerai bazar Ramadan supaya mengutamakan kebersihan.

Beliau berkata, sepatutnya para peniaga tidak hanya mengaut keuntungan tetapi perlu mengutamakan kebersihan makanan yang dijual agar tidak memudaratkan kesihatan pengguna.

Saya amat bersetuju Jabatan Kesihatan mengambil tindakan drastik menutup tapak bazar Ramadan yang terletak di kawasan pusat beli-belah Giant Bandar Baharu Keningau,” kata Yazid Mohd Hasnan Tawik kepada Utusan Borneo di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Keningau mengulas notis penutupan tapak bazar itu oleh Jabatan Kesihatan berikutan keadaan tempat itu kotor.

Dalam notis yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Kawasan Keningau, tapak itu ditutup selama 14 hari bermula 16 sehingga 30 Jun ini.

Menurut notis itu yang ditampal di tapak bazar itu, ia bagi membolehkan kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan sehingga premis itu tidak menjadi tempat perebakan penyakit berjangkit.

Notis itu telah diviralkan dengan meluas di media sosial terutama sekali di WhatsApp dan juga Facebook.

Yazid meminta agar pemeriksaan dilakukan di semua kawasan yang mengadakan jualan bazar kerana kebanyakan makanan tidak ditutup dan terdedah kepada lalat atau habuk.

Katanya, terdapat juga makanan yang disediakan dari rumah dan perlu juga dibuat pemeriksaan di kediaman peniaga terbabit.

Tindakan pihak Jabatan Kesihatan menutup salah satu kawasan tapak bazar di daerah ini amat tepat. Namun demikian, pihak yang berkenaan perlu memikirkan peniaga yang tidak melakukan kesalahan.

Kita juga difahamkan peniaga yang berjualan di kawasan itu adalah terdiri peniaga Bumiputera yang hanya mencari rezeki semasa bulan Ramadan ini dan mereka bukannya peniaga tetap,” katanya.

Yazid berkata, mereka juga telah membayar sewa sebulan untuk membuka gerai di tapak itu kepada pemilik kawasan terbabit.

Katanya, penutupan tapak bazar itu sudah tentu mengundang kerugian kepada peniaga yang terlibat kerana kawasan itu hanya dibuka untuk bazar sepanjang bulan Ramadan ini.

Salah satu tujuan peniaga berjualan di musim bulan Ramadan ialah untuk menambah pendapatan bagi menampung perbelanjaan keluarga mereka pada sambutan Hari Raya nanti.

Maka pihak yang berkenaan perlu memberi pertimbangan semula kepada peniaga yang tidak melakukan kesalahan atau melakukan pembersihan dan disinfeksi secepat mungkin bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan yang hanya tinggal beberapa hari lagi,” katanya.

Pada masa yang sama, Yazid juga menyarankan pihak berkuasa tempatan agar melihat kesesuaian kawasan tempat mengadakan bazar pada masa akan datang.

Katanya, kawasan-kawasan itu perlu diwartakan sebagai kawasan yang sah untuk mengadakan bazar.

Dengan cara itu, mudah untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan oleh pihak yang berkenaan.

Menurut beliau, ia perlu jugá diperiksa seminggu sebelum bermulanya bazar oleh pihak yang berkenaan untuk melihat keselamatan dan kebersihan kawasan itu.

Di pihak Jabatan Kesihatan pula, perlu memberi taklimat dan penerangan kepada semua peniaga yang mengendalikan jualan itu sebelum memulakan perniagaan.

Dengan cara demikian, mereka lebih mengutamakan kebersihan diri, makanan dan minuman yang dijual dan juga gerai dan kawasan tempat berniaga,” katanya.

Advertisement