Anda di sini

Penganggur mengaku bersalah guna dadah berbahaya

Advertisement

MIRI: Seorang penganggur didenda RM5,500 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah mengaku bersalah terhadap dua tuduhan menggunakan dadah berbahaya.

Yap Chien Peng, 30, dari Bandar Baharu Permyjaya di sini didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun bagi setiap tuduhan dihadapi dan dikehendaki menjalani pengawasan serta merta selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan kes pertama, tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya jenis methamphetamine dan amphetamine terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234) dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh  sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 8.35 malam, pada 2 Mei 2011 di Balai Polis Pusat Miri.

Manakala dalam kes kedua, tertuduh didapati melakukan kesalahan serupa dengan menggunakan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya jam 5.20 petang, pada 21 November 2011 di sebuah rumah di lorong 10 Bandar Baru Permyjaya di sini.

Bagi kes pertama, tertuduh didenda RM2,500 atau empat bulan penjara dan denda RM3,000 atau empat bulan penjara bagi kesalahan kedua.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dalam pengawasan pihak berkuasa selama tempoh dua tahun.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Md. Syafique Md Hilmie.

Advertisement