Anda di sini

Bapa didenda aniaya anak lelaki sendiri

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang bapa yang menganiaya anak lelakinya dengan memukulnya menggunakan rotan sehingga mengalami luka dan calar di bahagaian badannya, didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang, di sini semalam.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Kong Kwek Liang, 40, pemandu di sebuah syarikat percetakan, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap anaknya, Sky Kong Zheng Wei, 13.

Mahkamah turut memerintahkan Kong dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Kong membayar denda itu.

Kong, sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas Sky menganiaya dan menyebabkan remaja tersebut mengalami kecederaan fizikal di ruang tamu rumah sewanya di Jalan Bunga Cempaka 2, Taman Muda, di sini antara 10 pagi dan 12 tengah hari, 14 Mei lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Kong yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia memukul anaknya itu kerana remaja itu tidak mendengar kata dan sering mencuri duitnya.

Dia selalu tak dengar cakap. Dia ada curi wang, curi barang,” kata Kong menjawab soalan Azrul mengapa dia memukul anaknya itu.

Mengikut fakta kes mangsa telah memberitahu gurunya yang dia dipukul oleh bapanya menggunakan rotan dan guru itu kemudian membuat laporan polis.

Hasil laporan perubatan dari hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan lebam, luka dan calar di beberapa bahagian badan termasuk bahu, tangan, lengan, kaki dan punggung. — Bernama

Advertisement