Anda di sini

Sistem pengajaran dan pembelajaran prasekolah diperkemaskan

Advertisement

KUALA NERANG: Pendidikan awal kanak-kanak akan terus menjadi agenda kerajaan dalam usaha memantapkan lagi aspek pendidikan negara di zaman yang semakin mencabar ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, untuk tujuan itu, tugas dan tanggungawab diberikan kepada Jawatankuasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan yang ditubuhkan sebelum ini untuk merangka perancangan terbaik dan holistik demi meningkatkan kualiti pendidikan.

Pada saya kita kena pertingkatkan menerusi Jawatankuasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan bagi mencari pendekatan dan panduan yang terbaik termasuk dari luar negara sekali gus meletakkan sistem pendidikan kita di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita pada Majlis Kasihi Pekebun  dan Penyampaian Skim Biasiswa Anak Pekebun Kecil, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) daerah Padang Terap di Sekolah Menengah Kuala Nerang, di sini, semalam.

Pada program itu, 48 pelajar tingkatan lima yang cemerlang dalam pelajaran menerima cek RM500 sebagai insentif untuk mereka terus cemerlang mencatatkan keputusan terbaik untuk peperiksaan nanti.

Katanya, antara agensi yang terlibat dalam jawatankuasa itu ialah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW),  Jabatan Perpaduan Negara (JPN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

Selain itu, kementerian mahu melihat semua guru-guru Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mempunyai sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak agar kanak-kanak diasuh dan dididik dengan sempurna.

Sistem sedia ada ni ‘okey’ dah cuma saya nak bagi tahu ia untuk penambahbaikan dan bukan kita nak gubal yang baharu, cuma nak buat penambahbaikan, “ katanya.

Sementara itu Mahdzir berkata, kerajaan tidak menghalang mana-mana ibu-bapa ingin menghantar anak-anak mereka ke tabika swasta jika berpendapat tabika yang dikelolakan kerajaan tidak menepati hasrat mereka.

Sementara itu, Mahdzir yang mengulas mengenai Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat berkata, pembangkang dilihat mengambil kesempatan di atas saman sivil terbaru dikemukakan DoJ bagi memburuk-burukan pemimpin  kerajaan.

Mereka cuma nak melihat DoJ ini untuk ambil kesempatan dan memburukkan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional, jadi bila ada laporan itu mereka guna laporan ini untuk burukkan, pada saya biarlah kerajaan selesaikan dan tak perlu mereka mengambil berita dari luar negara untuk dijadikan salah satu berita dan guna berita itu untuk buat fitnah kepada kepimpinan yang ada,” katanya. — Bernama

Advertisement