Anda di sini

Seni Pengucapan Awam

Advertisement

Gemuruh jiwa semakin kencang apabila saya melihat rakan sekerja dari pasukan lain menyampaikan ucapan mereka dengan mudah dan berkeyakinan.

Mereka seolah-olah dianugerahkan  dengan bakat semula jadi dalam pengucapan awam. Saya benar-benar kagum akan kemahiran mereka.

Ucapan ini adalah untuk simulasi perniagaan saya yang pertama di hadapan rakan sekerja dan panel yang bertauliah.

Apabila tiba giliran saya untuk berdiri di hadapan para hadirin, terasa kepala saya berpusing, bibir saya kering, jantung berdegup pantas dan suara saya tersekat-sekat.

Jika anda menunjukkan kebimbangan dalam pengucapan awam melalui petanda-petanda ketakutan yang dinyatakan, anda tidak keseorangan.

Berikut merupakan tujuh prinsip pengucapan awam berkesan, yang diperoleh daripada sesi kendalian Eric Lau. (Malangnya, saya menghadiri latihan ini seminggu selepas “detik getir” itu.)

Merancang dan bersedia

Lakukan kajian dan persediaan dengan baik.  Fahami dan biasakan diri dengan topik yang bakal dibincangkan supaya anda dapat menyediakan diri untuk sesi soal jawab.

Tentukan tempoh masa yang diberikan dan pecahkan kepada segmen yang lebih kecil untuk anda utarakan idea-idea anda.

Pastikan ucapan anda dilengkapi dengan pembukaan yang kuat dan menarik untuk membuatkan audiens teruja dan akhiri penyampaian anda dengan penutup yang berimpak, supaya mereka tergerak untuk melakukan sesuatu.

Kenali audiens dan tujuan anda

Kenal pasti audiens sasaran anda. Adakah anda perlu menyampaikan ucapan di hadapan sekumpulan belia atau eksekutif korporat? Dengan golongan belia, contohnya, usaha yang lebih diperlukan untuk mengekalkan perhatian mereka.

Bagi membantu anda mengenali audiens, tiba lebih awal di tempat berkenaan untuk “berjumpa dan menegur” mereka secara kasual untuk mengenal pasti sebab mereka menghadiri ceramah anda dan perkara yang dijangkakan mereka.

Selain itu, apakah objektif penyampaian anda? Adakah ia bertujuan untuk menyampaikan ilmu, memberi inspirasi, penjelasan, motivasi, cabaran, mengajar atau  memberi maklumat?

Elakkan daripada menghafal

Ingatlah bahawa apabila anda menyampaikan sesuatu, anda perlu berinteraksi dengan audiens, bukannya memberi arahan berdasarkan nota ucapan.

Apabila anda mula membaca daripada nota atau slaid, hubungan anda dengan audiens akan hilang.

Audiens mungkin sedar anda sedang menghafal kerana anda nampak bersusah-payah untuk mengingat perkara yang ada dalam fikiran. Dalam proses ini, anda kelihatan seperti robot.

Bahaya menghafal adalah apabila sesuatu idea terlepas daripada fikiran, kemungkinan untuk anda terkial-kial dengan idea yang seterusnya adalah lebih besar.

Berlatih, berlatih, berlatih

Alah bisa tegal biasa. Walaupun anda tidak perlu menyampaikan ucapan buat masa sekarang, anda boleh merebut peluang untuk bercakap di hadapan orang lain, sama ada di tempat kerja atau secara suka-suka sahaja.

Ataupun, luangkan masa untuk melatih diri berucap di hadapan cermin. Dengan melihat diri di hadapan cermin, anda boleh melatih diri untuk lebih peka dengan bahasa badan dan gerak isyarat.

Jika ini suatu usaha berpasukan, luangkan sedikit masa untuk berlatih di hadapan ahli kumpulan supaya mereka dapat memberi maklum balas dengan serta-merta.

Anda juga mungkin memerlukan bantuan mereka untuk merakam ucapan latihan supaya anda boleh menilai dan mengenal pasti cara untuk membuat penambahbaikan yang sewajarnya.

Jadilah diri sendiri

Anda boleh membayangkan diri sebagai seorang pemidato yang bagus seperti Abraham Lincoln, namun anda perlu ingat bahawa menjadi diri sendiri merupakan kunci untuk audiens mengenali diri anda.

Mereka mampu berhubung dengan anda dengan lebih baik sekiranya mereka nampak diri anda yang “sebenar”, daripada melihat seseorang yang terlalu mencuba untuk meniru perwatakan orang lain.

Hal ini bukanlah bermaksud anda perlu kekal dengan status quo dari segi tahap kemahiran memberi ucapan. Malah, anda perlu mengetengahkan ucapan yang lebih baik apabila anda melakukan hal ini dengan lebih kerap, diselitkan dengan sentuhan unik personaliti anda.

Libatkan audiens anda

Apabila berucap di hadapan audiens, anggaplah anda sedang “berdialog” dengan mereka. Hal ini boleh mengurangkan perasaan janggal anda sebagai seorang penyampai selain mengekalkan minat para pendengar dengan ucapan anda.

Cubalah sehabis baik untuk berkomunikasi dengan jelas, lancar dan penuh hormat, sama seperti anda sedang berbual dengan rakan anda.

Berlatih dengan teknik pengucapan awam yang bagus

Pada pendapat saya, teknik pengucapan awam yang dikongsi semasa latihan yang saya sertai serupa dengan teknik yang digunakan dalam sebutan korus.

Bezanya ialah sebutan korus jelas melibatkan kumpulan yang lebih besar dan kurang menakutkan.

Teknik-teknik yang dikongsi adalah seperti berikut:

Hubungan mata

Kekalkan hubungan mata anda dengan audiens.

Dalam fikiran, bahagikan audiens anda kepada tiga atau empat segmen, dari kiri ke kanan, serta dirikan dan bina hubungan yang baik dengan setiap segmen supaya tiada yang ketinggalan.

Lontaran suara

Lontarkan suara anda dengan kuat supaya audiens dapat mendengar dengan jelas.

Gerak isyarat

Jaga pergerakan anda pada tahap minimum untuk mengelakkan audiens daripada merasa terganggu.

Sebaliknya, manfaatkan pergerakan tangan supaya selari dengan mesej yang dibawa. Adakah anda mahu tersilap langkah dengan menuding tiga jari sedangkan anda berkongsi menyeempat poin?

Derap

Anda mungkin mahu melajukan atau memperlahankan sebahagian daripada ucapan supaya nampak lebih dinamik dan hidup.

Jika anda mahu menzahirkan istilah tertentu yang agak baharu untuk audiens, anda mungkin perlu berucap dengan perlahan supaya mereka tidak ketinggalan.

Penekanan perkataan

Jika derap ialah “tempo” bagi ucapan, maka penekanan perkataan merupakan “kresendo” bagi ucapan.

Anda mungkin mahu menekankan beberapa perkataan kerana kepentingannya dalam mesej yang anda bawa kepada audiens.

Jeda

Pada peringkat awal, jeda memberi anda masa untuk menyesuaikan diri sebagai pusat tumpuan di dalam bilik tersebut.

Selepas anda bermula, selitkan jeda antara perkataan untuk membantu anda berehat dan berfikir sejenak sebelum meneruskan ucapan.

Kesimpulan

Apakah yang terjadi pada ucapan saya, adakah anda masih tertanya-tanya?

Salah seorang ahli panel perlu mencelah ucapan saya dan memberi jaminan bahawa saya memberi penyampaian yang baik dalam usahanya “bersorak” untuk saya. Itulah betapa gemuruhnya saya berasa apabila berdiri di hadapan audiens.  

Namun, ia merupakan pengalaman yang baik. Mungkin yang saya perlu lakukan sekarang adalah mempergunakan tip-tip yang saya tahu kini, dan tidak berputus asa.

Seperti yang selalu dikatakan, lebih kerap anda paksa diri untuk berucap di hadapan orang lain, lebih bagus dan lebih yakin anda akan jadi.

 #########################################

Lim Lay Hsuan ialah editor digital (bahasa Inggeris) Leaderonomics.com. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected].  Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Leaderonomics sebagai organisasi sosial, layari www.leaderonomics.org

Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

Sumber

  • oleh
  • Advertisement