Anda di sini

Perlu sentiasa nilai program pendidikan: Raja Muda Perlis

Advertisement
 Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan beg tugasan sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada anggota-anggota tentera yang bertugas di Pulau Sibuan, dekat Semporna, semalam. — Gambar Bernama
SUMBANGAN: Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan beg tugasan sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada anggota-anggota tentera yang bertugas di Pulau Sibuan, dekat Semporna, semalam. — Gambar Bernama

TAWAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengesyorkan setiap aktiviti atau program pendidikan yang hendak dilaksanakan perlu sentiasa dinilai supaya seiring dengan manfaat perkembangan sejagat.

Baginda bertitah, setiap program yang dilaksanakan itu mestilah berkualiti dan berimpak besar bukan sahaja terhadap pelajar malahan turut memberi kesan positif kepada masyarakat sekitar.

“Dalam perkara ini, program berbentuk pendedahan awal pelajar kepada aktiviti berkaitan kemasyarakatan perlu bagi memperkenalkan mereka dengan ‘dunia luar’, yang mana pelajar ini juga akan menjadi ahli masyarakat suatu hari nanti,” titahnya.

Baginda bertitah demikian sempena program titian kasih mega peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau di sini, semalam.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menasihatkan golongan pendidik agar percaturan program yang kurang memberi implikasi berkesan terhadap pelajar dan masyarakat perlu dielakkan sekali gus menghindari pembaziran dari segi guna tenaga, sumber serta kewangan.

“Elak kesilapan percaturan program yang syok sendiri,” titahnya.

Baginda bertitah, penting golongan pendidik melahirkan pelajar bermentaliti kelas pertama sejajar dengan kemudahan kelas pertama yang sudah, sedang dan akan disediakan oleh pihak kerajaan.

Golongan pelajar pula diseru agar merebut peluang pendidikan sehingga cemerlang dan berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, walaupun itu bukanlah kejayaan sebenar, tetapi usaha ke arahnya itu yang lebih penting, titah baginda. — Bernama

Advertisement