Anda di sini

Keputusan saman pemula Dr Ting diketahui hari ini

Advertisement

KUCHING: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan hari ini untuk mendengar keputusan saman pemula yang difailkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon.

Hakim Datuk Douglas Christo Primus Sikayun menetapkan tarikh berkenaan selepas kedua-dua pihak guaman selesai membentangkan hujah masing-masing.

Katanya, keputusan kes perlu dibuat secepat mungkin kerana ia dipengaruhi tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut yang hampir tiba.

Kedua-dua pihak, defendan dan plaintif diperuntukkan dua hari untuk membuat hujah mereka mengenai saman pemula oleh bekas ADUN berkenaan yang mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana membatalkan kelayakanya sebagai ADUN.

Pada Khamis lepas, pasukan peguam defendan berhujah panjang di mahkamah mengenai ketidaksetiaan plaintif serta bidang kuasa DUN terhadap ahlinya.

Semalam, plaintif berkata, tempoh kesetiaan adalah subjektif.

Dr Ting menamakan Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan.

Dalam samannya Dr Ting memohon perisytiharan bahawa kehilangan kelayakannya di bawah Perkara 17(1) (g) Perlembagaan Sarawak adalah batal dan tidak sah.

Peguam Besar Negeri Talat Mahmodd Abdul Rashid mewakili DUN, manakala peguam Shankar Ram Asnani dan Grace Lee masing-masing mewakili Asfia dan Wong.

Sementara SPR diwakili peguam Azizan Arshad.

Chong Siew Chiang mengetuai pasukan guaman bagi Dr Ting.

Advertisement