Anda di sini

Ibu bapa eksploitasi kanak-kanak boleh hilang hak penjagaan

Advertisement

ALOR SETAR: Tindakan ibu bapa atau penjaga yang mengeksploitasi kanak-kanak bagi tujuan kepentingan diri sendiri seperti mahu membalas dendam boleh kehilangan hak penjagaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya boleh menyerahkan hak penjagaan kepada anggota keluarga terdekat dan sekiranya tiada yang layak, barulah kanak-kanak tersebut diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

“Perkara ini memang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001, begitu juga jika ibu atau bapa kita lihat tidak berkeupayaan dari segi emosi. Bagaimanapun kita perlu membuat siasatan dan melihat banyak aspek  sebelum memutuskan apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra Bazar Wanita 1Malaysia di Lorong Sempit dekat sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri Datuk Suraya Yaacob.

Rohani mengulas mengenai video tular dalam media sosial baru-baru ini yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun berada dalam keadaan lemah, tidak bermaya dan khayal, dipercayai diberikan dadah syabu.

Namun begitu beberapa hari selepas itu seorang wanita berusia 27 tahun yang merupakan ibu kepada mangsa, menyerah diri kepada polis dan memberitahu anaknya itu sebenarnya tidak diberikan syabu, sebaliknya video itu dibuat bertujuan untuk menyakiti hati bekas suaminya.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya masih menunggu siasatan lengkap daripada polis berhubung hal berkenaan dan sekiranya ibu kepada mangsa dibuktikan tidak layak untuk menjaga kanak-kanak terbabit, pihaknya akan mengambil tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan lain, Rohani berkata pihaknya bersedia menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108, di Chukai, Terengganu kelmarin.

“Bagaimanapun kita tahu pihak mereka (Angkatan Tentera Malaysia) sendiri ada bahagian kaunseling mereka, namun kita sedia untuk berkhidmat jika diperlukan,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tersebut. — Bernama

Advertisement