Anda di sini

Dua wanita asing guna dadah dihadap ke mahkamah

Advertisement

MIRI: Dua wanita warga asing dalam dua kes berasingan masing-masing dihadap ke Mahkamah Majistret kelmarin atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamine.

Liu Le Bun, 22, dan Zheng Qao Juan, 22, kedua-duanya dari China telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta merta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan kes pertama, Liu telah dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis  Amphetamine, Methamphetamine dan Ketamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.50 petang, 11 Jun lalu di Balai Polis Pusat Miri.

Manakala dalam kes kedua, Zheng didakwa melakukan kesalahan serupa dengan memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 3.55 petang, 11 Jun lalu di Balai Polis Pusat Miri.

Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memberitahu bahawa laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap, justeru memohon satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes tersebut.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan lanjut kes.

Manakala kedua-dua tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan masing-masing RM3,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan pasport mereka diserahkan untuk disimpan oleh pegawai penyiasat kes.

Advertisement