Anda di sini

MATRADE gesa pemain industri tempatan beralih fesyen beretika

Advertisement

Tampung permintaan global kian meningkat dalam industri bertrilion dolar

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggesa pereka fesyen dan pengeluar tempatan untuk beralih kepada fesyen beretika bagi menampung permintaan global yang semakin meningkat dalam industri bernilai bertrilion dolar itu.

Pengarah Bahagian Gaya Hidup MATRADE Abu Bakar Yusof berkata pasaran global bagi fesyen beretika telah meningkat empat kali ganda dalam tempoh empat tahun lepas.

Sebagai contoh, industri fesyen beretika di United Kingdom meningkat 29 peratus kepada RM9.76 bilion (1.8 bilion pound British) pada 2016,” katanya pada taklimat media mengenai industri fesyen beretika di sini, semalam.

Fesyen beretika merangkumi pendekatan kepada reka bentuk, penyumberan dan pengeluaran pakaian dan aksesori seperti kasut, beg tangan dan kraf tangan yang memaksimumkan manfaat kepada masyarakat, di samping meminimumkan impak kepada alam sekitar.

Abu Bakar berkata, ketika ini, terdapat peralihan permintaan terhadap fesyen beretika di negara-negara maju terutamanya di Eropah, Australia, Amerika Utara dan Jepun.

Di China, lebih banyak jenama giat mencari kemudahan pengeluaran yang memenuhi standard etika bahan, praktis dan persekitaran kerja,” katanya.

Beliau berkata tingkah laku pengguna cenderung ke arah fesyen beretika kerana ia bukan sahaja memberi impak positif kepada masyarakat tempatan, tetapi juga membawa nilai kepada pasaran antarabangsa.

Pengguna bersedia untuk membayar harga tinggi bagi produk premium seperti itu,” katanya.

Abu Bakar berkata fesyen yang tidak dapat mematuhi fesyen beretika tidak lagi dapat bersaing.

Sementara itu, Pengarah Urusan Earth Heir Partners Sdn Bhd Sasibai Kimis berkata fesyen beretika telah memasuki industri arus perdana di peringkat antarabangsa.

Paris, London, Berlin dan New York telah memperkenalkan pertunjukan fesyen yang dikhususkan semata-mata kepada fesyen beretika dan mampan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata oleh kerana industri itu masih di peringkat awal, terutamanya di negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, kesedaran mengenainya masih lagi rendah.

Sasibai, yang juga merupakan penyelaras negara Fashion Revolution Malaysia berkata di bawah pergerakan global, pada hari ini kurang daripada 20 syarikat fesyen tempatan mengguna pakai standard beretika.

Sekiranya kira-kira 10 peratus pemain industri tempatan beralih ke arah fesyen beretika, mereka boleh melakukan perubahan,” katanya. — Bernama

Advertisement