Anda di sini

KPDNKK tetapkan 19 barang harga terkawal bulan ini

Advertisement

KENINGAU: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Keningau telah menetapkan 19 barang harga terkawal musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bermula 17 hingga 30 Jun ini.

Ketua Penguat Kuasa Kementerian itu Cawangan Keningau Gunasegaran Krishnan berkata penetapan harga kawalan itu melibatkan di empat daerah di Pedalaman Atas terdiri Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan.

Katanya 19 jenis barangan itu adalah ayam hidup bagi harga borong RM5.90 dan harga runcit RM6.60 bagi setiap sekilogram; ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya) harga borong RM8.60 dan runcit RM9.60 sekilogran; dan ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) harga borong RM8.80 dan runcit RM9.80 sekilogram.

Daging lembu tempatan harga borong RM21 dan runcit RM23 sekilogram; daging kerbau import (India) harga borong RM21 dan runcit RM22 sekilogram; telur ayam gred A (berat 65 hingga 69.9 gram sebiji) harga borong RM0.38 sen dan runcit RM0.40 sen sebiji; telur ayam gred B (berat 60 hingga 64.9 gram sebiji) harga borong RM0.37 sen dan runcit RM0.39 sen sebiji; sementara telur ayam gred C (berat 55 hingga 59.9 gram sebiji) harga borong RM0.36 sen dan runcit RM0.38 sen sebiji.

Cili merah harga borong RM10 dan runcit RM12 sekilogram; tomato harga borong RM3.50 dan runcit RM4.50 sekilogram; dan kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing) harga borong RM2.60 dan runcit RM3.50 sekilogram.

Kelapa biji harga borong RM1.40 sekilogram; kelapa parut harga runcit RM5.00 sekilogram; bawang merah kecil (India) harga borong RM5.50 dan runcit RM6.50 sekilogram; bawang besar import harga borong RM3.50 dan runcit RM4.50 sekilogram; dan bawang putih (China) harga borong RM15.00 dan runcit RM16.00 sekilogram.

Ubi kentang import (China) harga borong RM2.50 dan runcit RM3.50 sekilogram; ikan kembung termasuk mabung (7 hingga 10 ekor setiap kilogram) harga borong RM6.50 dan runcit RM7.50 sekilogram; dan ikan selayang (7 hingga 10 ekor setiap kilogram) harga borong RM4 dan runcit RM6 sekilogram.

Gunasegaran berkata menjual barang harga terkawal melebihi harga yang ditetapkan adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

Beliau juga mengingatkan para peniaga agar memastikan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu dilabelkan pada harga barang terkawal bermula dari 17 hingga 30 Jun ini.

Saya juga meminta pengguna di keempat-empat daerah di Pedalaman Atas agar melaporkan kepada KPDNKK Keningau sekiranya terdapat peniaga yang menjual barang harga terkawal melebihi harga yang ditetapkan,” katanya.

Advertisement