Anda di sini

Kamarudin anak Sabah ketiga sandang jawatan naib canselor UMS

Advertisement

KOTA KINABALU: Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr D Kamarudin D Mudin dilantik sebagai naib canselor UMS kelima berkuat kuasa pada 18 Jun 2017.

Kamarudin, 49, bakal menggantikan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah yang akan tamat penggal pada 17 Jun ini.

Pelantikan ini sekali gus menjadikan Kamarudin sebagai anak kelahiran Sabah yang ketiga memegang jawatan berkenaan selepas Harun dan Prof Datuk Seri Panglima Dr Kamaruzaman Ampon.

Anak kelahiran Kota Belud ini adalah Profesor Gred Khas C (Perubatan) dengan kepakaran dalam bidang Anesthesiology.

Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor pada April 2015.

Kamarudin yang mula menyertai UMS pada 2004, sebelum ini berkhidmat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Queen Elizabeth (HQE) selama 12 tahun.

Pakar bius anak Sabah yang pertama ini menerima pelantikan beliau melalui kenyataan rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, kelmarin.

Advertisement