Anda di sini

Imam tangkap suspek curi wang tabung masjid

Advertisement

TAWAU: Seorang imam berjaya menggagalkan helah seorang penganggur mencuri wang dengan memasukkan lidi yang disapu gam ke lubang tabung Masjid Nurul Ain Taman Ria 9, di sini, kelmarin.

Hasil pemeriksaan, suspek yang ditahan kira-kira jam 9.45 pagi di masjid berkenaan dan berusia 20 tahun didapati sudah mengeluarkan wang tabung berjumlah hampir RM3,000.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata kejadian itu disedari oleh imam masjid apabila melihat seorang lelaki berada di hadapan tabung.

Tabung itu terletak berdekatan pintu masuk masjid dan suspek didapati mengambil duit dari tabung masjid menggunakan lidi yang disapu gam,” katanya.

Katanya polis melakukan penangkapan semula terhadap suspek selepas diserahkan oleh imam terbabit yang turut bertindak sebagai pengadu di dalam kes berkenaan.

Fadil berkata siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai kes curi dalam bangunan.

Untuk rekod, kes itu turut menjadi tular di media sosial dan menjadi kes kedua yang hangat dibualkan oleh netizen kerana berlaku di kawasan masjid pada bulan Ramadan.

Isnin lepas, polis juga menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri motosikal semasa mangsa menunaikan Solat Subuh di Masjid Al-Kauthar pada kira-kira jam 5 pagi.

Advertisement