
ASTRO Malaysia Holdings Berhad dan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd baru-baru ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang membentuk sebuah syarikat usahasama (JV Co) untuk penghasilan dan penjanaan keuntungan menerusi pemilikan kandungan di Malaysia dan rantau Nusantara.
Dato’ Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro berkata, “Matlamat utama kolaborasi ini, kami menyasarkan penghasilan bersama kandungan harta-harta intelek atau IP yang komprehensif meliputi segmen Melayu dan Islamik. Trend penggunaan media digital pada masa kini, baik berbayar mahupun menerusi iklan, telah meluaskan jangkauan Astro terhadap para pelanggannya di Malaysia daripada isi rumah ke segmen individu dengan sangat ketara.
“Menerusi misi utama untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggan yang mempunyai latar belakang berbeza, daripada teater ke televisyen, sehinggalah ke digital dan perdagangan, kami memerlukan IP yang pelbagai untuk memenuhi kehendak setiap segmen pengguna. Pemilikan IP ini membolehkan kami untuk memaksimumkan potensi aliran masuk kewangan daripada pelesenan, Adex, langganan dan perdagangan, yang mana pada masa yang sama juga memberi peranan jangka masa panjang yang mampan kepada kami dalam rantaian media.
“Kami juga mengambil kira permintaan yang semakin meningkat terhadap kandungan vernakular yang segar dan berbeza di seluruh rantau Nusantara, seba-hagiannya disebabkan oleh percambahan platform over-the-top atau OTT terus ke pengguna.
“Dalam usaha untuk meletakkan Astro sebagai pemain utama di ruang lingkup industri ini, kami mengukuhkan pelaburan kami menerusi kandungan yang menggunakan bahasa perantaraan yang sama (vernakular utama) dan harta intelek (IP) ASEAN, untuk menjadi lebih relevan kepada penonton serantau.
“Kumpulan Media Karangkraf merupakan satu kuasa besar dalam industri kreatif terutamanya di kalangan komuniti berbahasa Melayu menerusi senarai aset media yang dimilikinya, dan hari ini, kami amat berbangga mengumumkan usahasama yang dijalinkan dengan Karangkraf bagi membangunkan jenama dan seleksi kandungan IP yang hebat bersama-sama.
“Usahasama ini menyatukan dua entiti yang membawa misi yang sama dengan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan masing-masing untuk membuka peluang perniagaan baru bagi mencipta harta-harta intelek Nusantara yang boleh digunapakai bukan sahaja di Malaysia malahan memiliki nilai komersial yang tinggi untuk dibawa menjelajah ke negara-negara serantau.”
Dato’ Hussamuddin Yaacub, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karangkraf berkata, “Kumpulan Media Karangkraf amat teruja untuk menjalinkan kerjasama yang lebih rapat lagi dengan Astro, terutamanya setelah terlibat dalam pelbagai kempen sebelum ini, seperti Projek Ngaji, Quran Hour dan sebagainya. Dengan gabungan jumlah jangkauan yang memberangsangkan, kami merasakan bahawa Astro merupakan rakan strategik yang paling tepat untuk membantu memper-luaskan kan-dungan harta intelek kami di pelbagai platform seperti televisyen, OTT dan di ruang digital di Malaysia dan di negera-negara yang berikutnya.
“Usahasama ini akan membolehkan kami memiliki ekuiti dalam penguasaan kandungan Melayu dengan aspirasi serantau serta mempelbagaikan perniagaan baru seterusnya memacu inovasi digital.”