Anda di sini

Wanita warga emas didakwa kes pukul kanak-kanak guna rotan

Advertisement
 V. Tanawali (kiri) diiringi oleh pegawai polis dan peguam belanya Datuk Suraj Sing (dua, kiri) dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya, semalam. — Gambar Bernama
DERA: V. Tanawali (kiri) diiringi oleh pegawai polis dan peguam belanya Datuk Suraj Sing (dua, kiri) dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya, semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas yang tular di media sosial berhubung kes pukul seorang kanak-kanak perempuan menggunakan sebatang rotan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.  

V. Tanawali, 62, yang kelihatan tenang mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.  

Tertuduh yang menjaga mangsa didakwa telah melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan memukulnya menggunakan rotan pada bahagian muka, badan, kedua-dua kaki dan tangan.  

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Puchong Perdana, Jalan Mawar, di sini pada jam 11 pagi, Sept 2016 mengikut Seksyen 31 (1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V. V. Suloshani tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh mengambil kira faktor keseriusan jenayah yang dilakukan.   

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya atas alasan dia merupakan warga emas dan tiada risiko untuknya melarikan diri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Julai untuk sebutan semula kes. Suami tertuduh hadir pada prosiding semalam.

Pada 6 Jun lepas, wanita itu ditahan reman berhubung kes itu selepas video berdurasi dua minit 50 saat, menjadi tular di laman Facebook pada 5 Jun lepas yang menunjukkan seorang wanita memukul seorang kanak-kanak berusia lingkungan enam tahun berkali-kali.

Ketika kejadian, kanak-kanak itu sedang makan sebelum wanita berkenaan mengarahkan kanak-kanak terbabit beredar dari meja makan kerana menumpahkan makanan.  

Sebaik sahaja mangsa bangun, wanita itu memukul kanak-kanak itu berkali-kali sehingga menangis.  

Difahamkan, wanita itu menjaga kanak-kanak berkenaan sejak ibunya meninggal dunia dan video berkenaan dirakam rakan baik tertuduh. — Bernama

Advertisement