Anda di sini

Tragedi kebakaran blok 27 tingkat di London

Advertisement

Mangsa terperangkap dilihat terjatuh atau terjun dalam kejadian awal pagi di kejiranan barat

 Gambar serahan penduduk tempatan Natalie Oxford awal semalam menunjukkan kebakaran marak memusnahkan blok flat 27 tingkat di barat London di mana usaha memadamkannya hanya mampu mencapai separuh daripada ketinggian bangunan itu. — Gambar AFP
MENGERIKAN: Gambar serahan penduduk tempatan Natalie Oxford awal semalam menunjukkan kebakaran marak memusnahkan blok flat 27 tingkat di barat London di mana usaha memadamkannya hanya mampu mencapai separuh daripada ketinggian bangunan itu. — Gambar AFP

LONDON: Satu kebakaran besar memusnahkan sebuah blok pangsapuri 27 tingkat di barat London awal pagi semalam, menyebabkan beberapa kematian tatkala puluhan lagi cedera setelah terperangkap di dalamnya.

Ketua Briged Bomba London Dany Cotton berkata, terdapat sejumlah kematian dan 50 orang kini dirawat di hospital selepas kebakaran tersebut.

Saksi menyatakan mereka melihat beberapa orang jatuh atau terjun dari bangunan yang sedang terbakar itu, manakala sekurang-kurangnya seorang penghuni terdesak kelihatan mengibarkan kain putih dari tingkap salah satu tingkat teratas ketika kebakaran terus marak.

Tujuh jam selepas amaran dikeluarkan, kebakaran masih kelihatan di dalam bangunan yang hangus itu manakala asap hitam berkepul tebal di langit barat London.

Puing-puing besar juga dilihat jatuh dari Grenfell Tower, blok majlis perbandaran tahun 70-an di kawasan kelas buruh utara Kensington, hanya sepelaung dari daerah bergaya Notting Hill.

Saksi berkata, mereka mendengar jeritan dari tingkat-tingkat teratas ketika kebakaran marak sepanjang dinihari.

Mereka terperangkap.

Mereka tidak dapat turun ke bawah, khususnya dari tingkat atas, ramai rentung,” kata saksi bernama Daniel kepada BBC Radio London.

Saya melihatnya sendiri dan ada beberapa orang terjun.”

Hanan Wahabi, 39, berjaya melepaskan diri bersama suami dan anak lelaki mereka, 16, dan anak perempuan mereka, 8, tetapi khuatir tentang nasib abang, kakak ipar dan anak-anak saudaranya yang tinggal di tingkat 21.

Kali terakhir saya melihat abang, mereka melambai keluar dari tingkap, isterinya dan anak-anak mereka.

Sejak itu saya tidak mendapat berita tentang mereka, telefon mereka tidak dapat dihubungi sejak jam 2 pagi lagi,” katanya yang ditemui di luar pusat komuniti Rugby Portobello.

Suaminya Salah Chebiouni, 45, berkata beliau berada di dapur apabila melihat api di luar tingkap flatnya.

Api di tingkat sembilan, pelik sungguh.

Kebakaran itu berlaku di luar, bukan di dalam, dari tingkap, bukan dari pintu,” katanya.

Eddie, 55, yang tinggal di tingkat 16, berlari keluar dari rumah dengan kepala berbalut tuala basah ketika asap memenuhi flatnya.

Saya tidak dapat melihat apa-apa pun di hadapan saya.

Saya terus berlari menuruni tangga.

Ramai belum keluar dari bangunan itu,” katanya.

Seorang lagi saksi bernama Jody Martin memberitahu BBC bahawa beliau bergelut turun ke tingkat dua tetapi bergelut dengan asap tebal.

Saya melihat seseorang terjatuh keluar, saya melihat seorang lagi wanita memegang bayinya di luar tingkap.

Saya mendengar jeritan, saya menjerit menyuruh semua orang turun ke bawah dan mereka berkata, ‘Kami tidak dapat keluar dari flat kami, asap terlalu tebal di koridor’,” katanya.

Menjelang pagi, sebahagian besar blok tersebut hangus ketika anggota bomba menyembur air setakat tingkat yang termampu dicapai.

Ahli keluarga mangsa di tempat kejadian terus berusaha menghubungi orang tersayang, khuatir mereka terperangkap dan diarahkan polis ke restoran berhampiran di mana beberapa mangsa cedera sedang dirawat.

Briged bomba berkata, 40 jentera dan 200 anggota dikerahkan ke Grenfell tower yang mempunyai 120 flat.

Kebakaran berlaku dari tingkat dua hingga tingkat teratas bangunan 27 tingkat itu,” menurut jabatan bomba dalam Twitter.

Anggota bomba di tempat kejadian berkata mereka berjaya mengeluarkan penghuni sekurang-kurangnya dari tingkat 11.

Polis turut mengosongkan bangunan berdekatan ekoran jatuhan puing dan menutup sebahagian lebuh raya A40, sebatang jalan utama yang biasanya sibuk menuju ke London.

Sebuah landasan London Underground yang melintasi kawasan berkenaan berhampiran stesen Latimer Road turut ditutup.

Blok pangsapuri itu dibina pada 1974, tetapi menjalani penambahbaikan besar-besaran baru-baru ini termasuk sistem pemanasan baharu dan sistem air panas.

Kosnya mencecah 8.7 juta pound sterling dan siap pada Mei 2016.

Bahagian dalaman bangunan itu dimodenkan dengan penebat, namun penduduk tempatan memberi amaran setahun lalu tentang risiko kebakaran daripada sampah yang dibiarkan berlonggok sewaktu kerja penambahbaikan.

Perkara ini khususnya membimbangkan kerana Grenfell Tower hanya ada satu pintu masuk dan keluar sewaktu kerja penambahbaikan.

Potensi bagi kebakaran untuk berlaku dalam kawasan kegunaan umum di koridor tidak sanggup difikirkan kerana penghuni akan terperangkap di dalam bangunan tanpa sebarang jalan keluar,” menurut paparan blog Grenfell Action Group. — AFP

Advertisement