Anda di sini

Sumbangan kuih sempena Hari Raya Aidilfitri untuk perwira

Advertisement
 Musa (kiri) menyampaikan sumbangan kuih hari raya kepada Pengarah Jabatan Penjara Negeri Sabah Suria Idris (kanan) sambil diperhatikan Sukarti (tengah).
JASAMU DIKENANG: Musa (kiri) menyampaikan sumbangan kuih hari raya kepada Pengarah Jabatan Penjara Negeri Sabah Suria Idris (kanan) sambil diperhatikan Sukarti (tengah).

KOTA KINABALU: Se-banyak 495 kotak sumbangan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri diserahkan kepada sembilan pasukan keselamatan di Sabah tahun ini.

Kesemua sumbangan berkenaan membabitkan 36 penyumbang termasuklah dari jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata penyerahan sumbangan itu sebagai tanda penghargaan terhadap anggota pasukan keselamatan yang bertugas pada hari raya.

Menurutnya walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa, apa yang lebih penting adalah keikhlasan terhadap pengorbanan para anggota pasukan keselamatan di Sabah.

Dalam pada itu, Musa turut mengingatkan agar rakyat turut sama memainkan peranan untuk menjaga keselamatan negeri ini.

Rakyat harus membantu dalam menjaga keselamatan dan tidak menyerahkan sepenuhnya tugasan ini kepada pasukan keselamatan.

Dengan adanya kerjasama antara rakyat dan pasukan keselamatan, kita dapat bersama-sama memelihara keamanan dan keselamatan di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri 2017/1438H Kepada Anggota Pasukan Keselamatan, di sini, kelmarin.

Musa berkata jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan tidak pernah dilupakan terutamanya dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan itu katanya, penyerahan sumbangan berkenaan menjadi bukti jelas komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri dalam mengiktiraf pasukan keselamatan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Asnimar Sukardi.

Advertisement