Anda di sini

Penganalisis ekonomi unjur pertumbuhan ekonomi global 2.9 peratus pada 2017

Advertisement

NEW YORK: Penganalisis ekonomi di The Conference Board, agensi penyelidikan perniagaan New York, mengunjurkan peningkatan kitaran semasa dan produktiviti yang pulih akan meningkatkan pertumbuhan global kepada 2.9 peratus pada 2017, naik berbanding 2.5 peratus pada tahun lepas.

 Dalam laporan Prospek Ekonomi Global terkininya yang dikeluarkan baru-baru ini, The Conference Board, yang memenangi Anugerah Ketepatan Unjuran 2016 US Consensus Economics, berkata Indeks Ekonomi Utama bagi ekonomi global menunjukkan petunjuk utama yang kukuh di seluruh dunia, terutamanya di pasaran sedang pesat membangun, khususnya di India dan China.

 Walaupun kebanyakan pada 2015 dan 2016 menunjukkan dinamik kitaran perniagaan yang lemah dengan risiko kemelesetan lebih besar pada akhir 2015 dan pada awal 2016, katanya pemulihan baru-baru ini mencerminkan penggabungan kuasa positif.

 “Pengguna yang kukuh dan keyakinan perniagaan, pasaran saham yang kukuh, pemulihan dalam kitaran industri global, dan peningkatan kadar perdagangan global baru-baru ini semuanya kepada pengukuhan dinamik kitaran,” jelas Bart van Ark, Ketua Ekonomi di The Conference Board.

 Bagaimanapun, van Ark turut mengingatkan pemulihan disokong oleh peningkatan dalam produktiviti, boleh lenyap jika perniagaan tidak memacu pelaburan.

 Beliau berkata cabaran jangka sederhana dapat dilihat dalam penawaran buruh yang perlahan dan kadar yang lembap, dan teknologi baharu membawa kepada potensi pertumbuhan yang tinggi bagi ekonomi global.

 Anggaran terkini petunjuk ekonomi utama secara bulanan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahunan menunjukkan keyakinan yang meningkat dalam kalangan perniagaan dan pengguna pada suku tahun baru-baru ini yang akhirnya membawa kepada impak yang positif ke atas ‘ekonomi sebenar’, kata van Ark.

 Beliau menjangka ekonomi yang matang, terutamanya di barat dan Jepun, akan menunjukkan ‘peningkatan kecil’ naik daripada 2.0 peratus pada 2016 kepada 2.1 peratus pada 2017, bagaimanapun mengingatkan dinamik kitaran yang telah membantu prospek Kawasan Euro, lemah di UK walaupun sebelum undian Brexit pada tahun lepas.

 Pertumbuhan UK diunjurkan 1.5 peratus pada 2017, bagaimanapun ketidaktentuan ekonomi pada masa ini dan strategi selepas Brexit akan meningkatkan risiko terhadap prospek tersebut.

 Antara ekonomi sedang pesat membangun, yang menarik perhatian adalah prestasi ekonomi India dan China, dengan ekonomi India pulih dengan baik selepas penyahwangan pada akhir 2016 manakala China mengatasi jangkaan dengan suku pertama yang agak kukuh, hasil daripada kitaran industri global yang kukuh.

 Bagaimanapun, pertumbuhan China pada masa akan datang masih menghadapi risiko susulan dasar fiskal dan monetari yang semakin kurang memberi sokongan, boleh menyumbang kepada persekitaran yang lembap bagi pelaburan perniagaan dan hartanah,” kata van Ark.

 The Conference Board mengurangkan unjurannya bagi Timur Tengah dan Turki yang menghadapi peningkatan ketidaktentuan politik, memberi kesan kepada ekonomi utama rantau itu, termasuk Arab Saudi dan Mesir.

 Ahli Ekonomi The Conference Board turut menyentuh isu-isu utama kepentingan global.

 Walaupun Perkongsian Trans-Pasifik tidak diteruskan oleh Presiden AS Donald Trump, pentadbiran dijangka ke arah rundingan mengenai membuat perubahan dalam perjanjian perdagangan sedia ada di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara dengan dua rakan lain, Kanada dan Mexico.

 “Perkongsian Ekonomi dan Kerjasama Serantau yang diterajui China pada dasarnya merupakan kerjasama yang menumpukan kepada perdagangan barangan antara negara anggota manakala TPP fokus kepada pelbagai isu dengan implikasi yang lebih luas,” kata Jing Sima-Friedman, Ahli Ekonomi Kanan di The Conference Board kepada Bernama.

 Sima-Friedman, yang mengetuai projek penyelidikan makroekonomi mengenai pasaran sedang pesat membangun, berpendapat inisiatif Satu Jalur Satu Laluan China masih dalam pelaksanaan dan pelaburan infrastrukturnya, menurut anggaran tidak rasmi, dijangka mencecah AS$3 trilion (AS$1=RM4.25). — Bernama

Advertisement